BATU PAHAT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berusaha memperkukuh kawalan sempadan negara menerusi Op Benteng COVID-19 bagi menghalang kemasukan pendatang tanpa izin, kontraban seperti rokok serta arak, dan penyeludupan dadah, yang merupakan tiga aktiviti jenayah utama cukup aktif di perairan negara.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim berkata susulan pelbagai operasi di seluruh negara sejak awal tahun, banyak kejayaan dicapai oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam membanteras tiga aktiviti jenayah itu, termasuk rampasan barang bernilai lebih RM177.28 juta.

Beliau berkata berdasarkan statistik tangkapan Op Benteng sejak awal tahun, 107 warga tempatan dan 166 warga asing berjaya ditangkap di Johor kerana disyaki terlibat dengan tiga aktiviti jenayah itu.

"Kita mempunyai tanggungjawab besar, terutamanya PGA yang ditugaskan menjaga perairan sempadan negara dengan memfokuskan kepada mereka yang masuk secara haram dari negara jiran," katanya pada sidang media selepas melawat Markas Taktikal Sungai Koris, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pegawai Pemerintah PGA 5 Supt Dimin Awang.

Mazlan berkata bagi memperkukuh operasi berkenaan 253 pegawai dan anggota PGA Batalion 5 dan 6 ditugaskan di 22 pos kawalan sempadan perairan negara melibatkan jajaran Selangor ke Johor.

-- BERNAMA