Skip to main content

Sukan

SUKMA Selangor 2026 kekal Ogos ini - KBS

Teka-teki mengenai status penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 akhirnya terjawab apabila Jawatankuasa Tertinggi Sukma mengesahkan temasya dwitahunan itu akan tetap diteruskan mengikut jadual asal dari 15 hingga 24 Ogos depan.
Dr Taufiq berkata penganjuran temasya itu akan tetap diteruskan bagi menghargai persiapan rapi yang telah dibuat oleh Kerajaan Negeri Selangor selaku tuan rumah. - Foto Stadium Astro

TEKA-TEKI mengenai status penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 akhirnya terjawab apabila Jawatankuasa Tertinggi Sukma mengesahkan temasya dwitahunan itu akan tetap diteruskan mengikut jadual asal dari 15 hingga 24 Ogos depan.

Keputusan ini diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Dr Taufiq Johari, selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma hari ini, yang turut dihadiri wakil-wakil negeri serta kepimpinan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Advertisement

Dr Taufiq berkata penganjuran temasya itu akan tetap diteruskan bagi menghargai persiapan rapi yang telah dibuat oleh Kerajaan Negeri Selangor selaku tuan rumah serta kesediaan atlet dari setiap negeri yang telah lama berlatih, di samping mengelakkan implikasi kewangan yang lebih besar sekiranya berlaku penangguhan.

Walaupun dunia sedang berdepan krisis tenaga global dan kesan ekonomi yang mencabar, jawatankuasa berkenaan telah bersetuju agar SUKMA 2026 dilaksanakan dalam skala lebih kecil bagi memastikan kecekapan perbelanjaan dan kawalan kos yang ketat.

Bagaimanapun, peminat sukan tanah air tidak perlu bimbang kerana langkah penjimatan itu dijamin tidak akan mengurangkan jumlah sukan yang dipertandingkan mahupun menjejaskan kualiti pelaksanaan acara.

Sebaliknya, fokus utama tetap diberikan kepada penyediaan platform terbaik buat atlet pelapis negara membuktikan bakat mereka di peringkat kebangsaan sebelum melangkah ke tahap yang lebih tinggi.

Selain menjadi medan mencungkil bakat, SUKMA 2026 juga dilihat sebagai elemen penting dalam pembinaan keupayaan atlet, pegawai teknikal dan sukarelawan sebagai persediaan awal sebelum Malaysia menggalas tanggungjawab besar sebagai tuan rumah Sukan SEA 2027.

Mesyuarat itu turut membincangkan pelbagai perkara teknikal termasuk pengurusan logistik, penjajaran peraturan mengikut peredaran semasa, serta pelaporan awal bagi persiapan SUKMA Kelantan 2028. -- Stadium Astro
 

Must Watch Video