KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial menyiasat purata 15 kes pelaburan tidak wujud setiap hari dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata ia susulan pihaknya menerima sebanyak 4,435 kertas siasatan kes pelaburan tidak wujud yang dibuka melibatkan kerugian RM364,537,421.

"Apa yang membimbangkan, nilai kerugian ini bersamaan 20 peratus daripada nilai kerugian keseluruhan kes jenayah komersial iaitu RM1,824,715,080 direkodkan tahun ini (hingga Oktober)," katanya pada sidang media khas di sini hari ini.

Beliau berkata daripada 4,435 kes pelaburan tidak wujud disiasat bagi tempoh Januari hingga Oktober itu, sebanyak 4,051 kes adalah berkenaan pelaburan secara dalam talian, manakala 384 kes melibatkan pelaburan secara bersemuka.

Ramli berkata antara kes pelaburan tidak wujud dikenal pasti adalah skim pelaburan menawarkan keuntungan setinggi 51 kali ganda dalam tempoh tiga hingga enam jam selepas pelaburan dibuat.

Ramli berkata siasatan mendapati sindiket tersebut mula beroperasi pada Oktober tahun lepas menggunakan laman sosial Facebook, Whatsapp, Telegram dan TikTok dengan menawarkan pelaburan saham, mata wang digital dan dana geran menggunakan nama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menerusi lima pakej daripada serendah RM300 hingga RM2,000.

"Setakat ini, PDRM telah menerima 28 laporan polis dari seluruh negara dengan nilai kerugian keseluruhan RM1,242,839.34 berkaitan skim penipuan ini. Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Ramli berkata MIDA pada 9 Nov tahun lepas telah mengeluarkan amaran berkenaan penipuan pelaburan menggunakan nama agensi itu di laman Facebook rasminya.

Selain itu, katanya PDRM turut mengesan skim pelaburan yang dikenali sebagai CCF Trade dan EXGCOO 2023, dengan sejumlah 41 kes sedang disiasat melibatkan kerugian RM8.05 juta.

"Skim pelaburan ditawarkan adalah berasaskan transaksi jual beli saham di Malaysia serta pasaran luar negara seperti Amerika Syarikat dan Hong Kong, dengan pelabur berminat akan diminta memuat turun aplikasi bagi melihat akaun mereka menjana keuntungan namun ia tidak dapat dikeluarkan," katanya.

Ramli berkata siasatan mendapati mangsa yang terbabit dalam kes penipuan ini berusia dalam lingkungan 29 hingga 79 tahun daripada pelbagai latar belakang pekerjaan dengan majoritinya adalah pesara dan ahli perniagaan.

Sementara itu, beliau berkata empat lelaki berusia 37 hingga 63 tahun berperanan sebagai pengarah syarikat dan individu yang mencari akaun keldai ditahan kerana disyaki terbabit dengan sindiket penipuan pelaburan Yomaex.

"Setakat ini, 45 individu ditahan dan 85 kertas siasatan dibuka membabitkan nilai kerugian keseluruhan RM55,795,343.48," katanya.

Ramli berkata pihaknya turut mengesan kewujudan kes penipuan 'love investment scam' menggunakan modus operandi hampir sama seperti 'love scam', namun sindiket tidak meminta wang secara langsung daripada mangsa sebaliknya akan memainkan peranan sebagai mentor bagi mengajar mangsa mengenai sistem pelaburan.

"Apabila mendapat kepercayaan, baru sindiket akan meminta wang daripada mangsa. Setakat ini, kita tahu ada mangsa terlibat dalam 'love investment scam' tetapi mereka tidak tampil untuk membuat laporan," katanya.

Selain itu, beliau berkata pihaknya turut mengenal pasti trend pendaftaran syarikat dan pembukaan akaun bank atas nama syarikat dengan tujuan dijadikan keldai akaun bagi membolehkan transaksi kewangan dilakukan secara lebih kerap dan melibatkan amaun lebih besar.

"Setakat ini, PDRM mengesan 86 syarikat dan 70 perniagaan didaftarkan untuk tujuan sebegini dan sebagai langkah pencegahan PDRM mencadangkan agar prosedur serta syarat pendaftaran syarikat dan perniagaan diperhalusi serta diperketatkan," katanya.

-- BERNAMA