MALAYSIA
PDRM siasat kemungkinan 3 rakyat Malaysia termasuk penyanyi rap jadi keldai dadah

Razarudin berkata JSJN sedang meneliti maklumat yang diperoleh hasil soal siasat oleh pihak berkuasa Laos. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Polis akan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung tangkapan tiga rakyat Malaysia termasuk seorang penyanyi rap di Laos atas kesalahan memiliki dadah, termasuk kemungkinan mereka diperdaya atau dipergunakan oleh sindiket antarabangsa.
Ringkasan AI
- Polis Malaysia sedang menyiasat kes tiga rakyat Malaysia, termasuk seorang penyanyi rap, yang ditahan di Laos kerana memiliki 86 kilogram ganja, termasuk kemungkinan mereka diperdaya atau dipergunakan oleh sindiket dadah antarabangsa.
- Ketiga-tiga suspek ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay, Vientiane pada 27 Mei dan dipercayai merancang untuk menghantar dadah ke Jerman; mereka kini ditahan di Penjara Phontong.
- Dalam perkembangan berasingan, Ketua Polis Negara memaklumkan beberapa cadangan sedang diteliti bagi menambah baik aspek keselamatan kenderaan Pasukan Simpanan Persekutuan susulan nahas di Teluk Intan pada 13 Mei lalu.
Ketiga-tiga lelaki berusia antara 25 hingga 29 tahun itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay, Vientiane pada 27 Mei lepas, setelah pemeriksaan terhadap enam bagasi milik mereka menemukan 103 bungkusan plastik mengandungi 86 kilogram ganja.
Razarudin berkata ketiga-tiga suspek dipercayai merancang untuk menaiki penerbangan Thai Airways ke Jerman bagi menghantar bekalan dadah berkenaan dan kini ditahan di Penjara Phontong, Vientiane.
"Semakan Jabatan Imigresen Malaysia mendapati mereka berlepas ke luar negara dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 22 Mei. Namun, maklumat daripada pihak berkuasa Thailand menunjukkan tiada rekod kemasukan atau keluar ke negara itu," katanya.
Razarudin berkata pihaknya akan terus bekerjasama dengan agensi penguat kuasa luar negara bagi mengenal pasti rangkaian sindiket yang mungkin terlibat, selain memastikan perlindungan konsular bagi ketiga-tiga rakyat Malaysia berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Razarudin ketika mengulas mengenai laporan awal nahas membabitkan Pasukan Simpanan Persekutuan di Teluk Intan, Perak pada 13 Mei lepas berkata beberapa cadangan khusus sedang diteliti jawatankuasa yang telah ditubuhkan bagi menambah baik aspek keselamatan kenderaan digunakan anggota untuk bertugas.
Beliau berkata cadangan itu termasuk, susun atur tempat duduk lebih selamat dan keperluan memisahkan sepenuhnya ruang penumpang dan kargo, lebih-lebih lagi dalam perjalanan ke lokasi operasi dan bukan semasa operasi sedang dijalankan.
"Perbincangan lanjut mengenai standard keselamatan dan protokol pengangkutan dijangka diteruskan dalam mesyuarat seterusnya, dengan penekanan kepada garis panduan lebih ketat serta penggunaan kenderaan khusus yang mematuhi spesifikasi keselamatan terkini," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami