Skip to main content

Malaysia

PDRM sifatkan Harmoni MADANI langkah matang selesaikan isu sensitif 

PUTRAJAYA, 18 Mac -- Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dan Pengerusi Kuil-Kuil Hindu dan Persatuan Persatuan Agama Hindu Malaysia (Mahima) Datuk N.Sivakumar bercakap pada sidang media selepas program Harmoni MADANI di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Program Harmoni MADANI semalam menyaksikan lebih 30 wakil NGO Melayu dan India berkumpul bagi mencari titik perdamaian dan penyelesaian menyeluruh bagi kemelut yang dihadapi kedua-dua komuniti. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail menyifatkan penganjuran program Harmoni MADANI semalam sebagai “langkah matang” dalam menyelesaikan isu sensitif melalui meja rundingan. 

Beliau menegaskan pertemuan antara beberapa badan bukan kerajaan (NGO) daripada komuniti Melayu dan India di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu ialah inisiatif yang mampu menurunkan suhu ketegangan kaum yang berlaku kebelakangan ini, khususnya berkaitan isu rumah ibadat yang dibina tanpa kebenaran. 

Advertisement

"PDRM amat menghargai komitmen serta semangat perpaduan nasional yang dipamerkan oleh pihak yang terlibat. Ia secara tidak langsung membantu pihak berkuasa mengekalkan keharmonian antara kaum demi menjamin kestabilan negara," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Mohd Khalid berkata hasil pertemuan amat positif, apabila wakil kedua-dua komuniti berbincang secara konstruktif, bersalaman dan berpelukan serta menunjukkan kesediaan untuk melupakan insiden lepas dan bergerak ke hadapan.

Beliau turut memberikan amaran keras kepada mana-mana individu atau kumpulan yang cuba mengeksploitasi isu perkauman dan agama untuk kepentingan peribadi.

"Kita mempunyai pandangan yang begitu konstruktif bagi memastikan keselamatan negara sentiasa terjamin. Saya menyeru kepada semua pihak untuk mengurangkan komen negatif yang menyentuh sensitiviti agama dan bangsa.

"PDRM memantau dengan teliti perkembangan yang berpotensi menjadi titik panas keselamatan (security flashpoint) dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melanggar undang-undang atau cuba mencetuskan ketegangan," katanya.

Beliau menambah isu teknikal seperti status tanah dan kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak seharusnya diheret menjadi polemik agama secara meluap-luap di media sosial.

"Kalau kita tidak dapat bersatu hati dalam kalangan rakyat Malaysia, saya khuatir kita akan menghadapi banyak masalah pada masa akan datang," katanya.

PDRM akan terus bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan termasuk menubuhkan jawatankuasa khas bagi memastikan isu melibatkan rumah ibadat ditangani secara tuntas dan mengikut lunas undang-undang.

Program Harmoni MADANI semalam menyaksikan lebih 30 wakil NGO Melayu dan India berkumpul bagi mencari titik perdamaian dan penyelesaian menyeluruh bagi kemelut yang dihadapi kedua-dua komuniti.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video