MALAYSIA
PDRM tugaskan 2,000 anggota kawal keselamatan perhimpunan di ibu negara 26 Julai ini

Mohamed Usuf berkata setakat ini tiada keperluan untuk melakukan penutupan jalan namun pihaknya akan sentiasa membuat pemantauan bagi menilai situasi ketika hari perhimpunan. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menugaskan lebih 2,000 anggota bagi kawalan keselamatan perhimpunan yang akan diadakan di Dataran Merdeka di sini pada 26 Julai ini.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata PDRM telah menerima pemakluman penganjuran perhimpunan itu yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi daripada penganjur.
"Kita telah kenal pasti empat tempat yang mereka akan berkumpul dan seterusnya bergerak ke Dataran Merdeka iaitu di Sogo, Masjid Jamek, Masjid Negara dan Pasar Seni.
"Setakat ini menurut unjuran Cawangan Khas PDRM, kira-kira 10,000 hingga 15,000 orang dijangka hadir dalam perhimpunan tersebut," katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.Beliau juga berkata meskipun polis menyedari hak masyarakat untuk berhimpun secara aman, peserta dinasihatkan supaya mengelakkan sebarang provokasi dan menjaga tingkah laku untuk menjamin keselamatan negara.
"Mereka mempunyai hak untuk berucap, bagaimanapun jika ada apa-apa kesalahan dari segi ucapan, contohnya provokasi atau perkara perkara yang membabitkan 3R, kita akan ambil tindakan," katanya.
Beliau berkata setakat ini tiada keperluan untuk melakukan penutupan jalan namun pihaknya akan sentiasa membuat pemantauan bagi menilai situasi ketika hari perhimpunan.
Mengenai kes penculikan Datin Seri Pamela Ling Yueh, Mohamed Usuf berkata 48 saksi dari dalam dan luar negara telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes itu, namun setakat ini pihaknya tidak memperolehi banyak petunjuk baharu yang boleh membantu siasatan.
Pada 9 April lepas, Pamela, 42, dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke pejabat SPRM dengan menaiki kereta perkhidmatan e-hailing untuk memberi keterangan berhubung satu siasatan yang sedang dijalankan.
Polis menerima laporan berhubung kehilangannya pada 3.02 petang hari yang sama.
- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami