NATIONAL
PDRM tugaskan 6,200 pegawai dan anggota kawal keselamatan Sidang Kemuncak ASEAN - KPN

Razarudin berkata tahap kesiapsiagaan pasukan keselamatan dipertingkat menerusi beberapa siri latihan termasuk Ex Rimau ASEAN Februari lalu dan penglibatan dalam Ex ASEAN anjuran Majlis Keselamatan Negara (MKN). - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menugaskan hampir 6,200 pegawai dan anggota bagi memastikan keselamatan sepanjang penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN yang dijadual berlangsung di ibu negara pada 26 dan 27 Mei ini.
Ringkasan AI
- Pasukan keselamatan diperkukuh dengan latihan intensif termasuk Ex Rimau ASEAN dan Ex ASEAN bagi memastikan kesiapsiagaan menghadapi sebarang kemungkinan ancaman.
- Ketua Polis Negara menekankan bahawa meskipun tiada ancaman keselamatan setakat ini, PDRM tetap berwaspada dan menjalankan pemantauan rapi terhadap isu politik serta keselamatan serantau.
- PDRM berganding bahu dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan agensi keselamatan lain bagi memastikan perlindungan maksimum termasuk di lokasi persidangan serta destinasi pelancongan.
"Pasukan elit seperti Unit Tindakhas dan 69 Komando juga telah bersedia sepenuhnya untuk digerakkan pada bila-bila masa," katanya kepada Bernama hari ini.
Razarudin berkata meskipun tiada ancaman keselamatan dikesan setakat ini, PDRM tetap mengambil pendekatan berwaspada dengan merujuk kepada insiden-insiden yang pernah berlaku semasa persidangan antarabangsa sebelum ini.
"PDRM juga peka terhadap isu-isu politik dan keselamatan melibatkan negara-negara ASEAN serta rakan-rakan dialog ASEAN. Pemantauan rapi sentiasa dijalankan bagi mengenal pasti sebarang kemungkinan impak yang boleh menjejaskan keselamatan persidangan," katanya.
Sebagai sebahagian daripada pendekatan keselamatan menyeluruh, PDRM turut menjalinkan kerjasama strategik dengan pelbagai agensi keselamatan termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta agensi keselamatan swasta.
Razarudin berkata selain lokasi utama persidangan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, kontinjen PDRM di negeri-negeri terlibat dengan program sampingan seperti di Terengganu, Pulau Pinang dan Pulau Langkawi turut diarahkan meningkatkan tahap kesiapsiagaan.
"Lazimnya, delegasi luar bukan sahaja menghadiri mesyuarat rasmi, malah turut melawat lokasi-lokasi pelancongan utama. Justeru, PDRM akan memastikan pemantauan keselamatan di kawasan tumpuan pelancong dan orang ramai berada di tahap tertinggi sepanjang tempoh persidangan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami