KAJANG: Tindakan sekumpulan lelaki menyamun sebuah kedai perkakasan komputer di Bandar Damai Perdana Cheras, di sini sebanyak tiga kali sejak tahun lalu dipercayai mempunyai motif mencuri mesin bitcoin.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, siasatan mendapati suspek yang tidak dikenali memecah masuk premis berkenaan sebanyak tiga kali pada 24 Ogos dan 29 Disember tahun lalu serta 23 Mac tahun ini.

Menurut beliau, kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

"Menurut laporan, satu kes telah selesai membabitkan empat individu yang dituduh di mahkamah pada 8 September 2021 di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan manakala dua kes lagi tiada pertuduhan kerana keterangan tidak mencukupi untuk mendakwa mereka.

"Hasil siasatan yang dijalankan mendapati sekumpulan suspek yang datang ke premis tersebut berniat mahu memecah masuk dan mencuri mesin bitcoin yang disyaki beroperasi dalam premis tersebut sebelum ini," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, pada 24 Jun tahun lalu, polis bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyerbu premis komputer itu dan menahan enam lelaki termasuk pemilik premis serta merampas 364 mesin Ethereum yang didapati menjalankan aktiviti melombong bitcoin secara haram.

Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 427/379 Kanun Keseksaan.

"Dua daripada suspek termasuk pemilik premis dituduh di bawah Seksyen 37(3)(d) Akta Bekalan Elektrik pada 14 Julai tahun lalu manakala suspek yang lain akan diambil tindakan alternatif di bawah peruntukan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca)," katanya.

Sementara itu, Mohd Zaid menegaskan pihaknya masih menyiasat kejadian pecah masuk terbaru premis terbabit yang berlaku pada Sabtu lalu.

Jelas beliau, dalam kejadian itu, sekumpulan lelaki terdiri daripada 15 hingga 20 orang yang bersenjatakan kayu besbol telah melarikan peralatan perkakasan komputer bernilai RM70,000.

"Suspek yang terlibat masih giat diburu dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mendatangkan kegusaran awam membabitkan video tular memaparkan kejadian terbabit.


*Berita asal di Sinar Harian