PONTIAN: 'Geng Eddy' yang dianggotai lima lelaki termasuk seorang bekas pemain bola sepak, yang aktif dalam kegiatan pecah rumah di siang hari tumpas, selepas ke semua mereka ditahan, Isnin lepas (3 Julai).

Ketua Polis Daerah Pontian Supt Mohammad Shofee Tayib berkata dengan penangkapan lima lelaki berusia 24 hingga 34 tahun itu, pihaknya telah berjaya menyelesaikan 13 kes di daerah Pontian, Batu Pahat, Tangkak dan Muar.

Beliau berkata geng berkenaan dipercayai mula aktif semenjak Mei lepas, dengan menjadikan rumah yang kosong pada siang hari sekitar pukul 2 hingga 3 petang setelah pemiliknya keluar bekerja, sebagai sasaran mereka.

"Mereka akan mengumpil pintu pagar dan tingkap sebelum masuk ke dalam rumah dan mencuri barangan berharga seperti barang kemas, wang tunai, jam dan beg berjenama.

"Sebelum tangkapan dilakukan, kesemua dipercayai sedang memecah masuk sebuah rumah di Sanglang, Benut, yang kemudiannya disedari pemilik seterusnya dikejar sebelum kereta yang dinaiki suspek terbabas berhampiran lokasi," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, di sini, hari ini.

Mohammad Shofee berkata dua daripada suspek berjaya ditahan setelah kereta terbabas, namun tiga yang lain berjaya melarikan diri dan kemudiannya ditahan di dua lokasi berbeza di sekitar Forest City, Iskandar Puteri dan Johor Bahru, pada hari yang sama.

"Kesemua rampasan dalam kes ini adalah RM350,000, selain kesemua yang ditahan positif dadah dan mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah. Mereka direman sehingga 17 Julai dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Dalam kes berasingan, beliau berkata pihaknya berjaya menahan 26 orang pendatang asing termasuk seorang tekong darat, tiga tekong laut dan seorang penjaga rumah penampungan, dipercayai sedang cuba keluar daripada negara menerusi jalan tidak diwartakan.

Beliau berkata kesemua mereka ditahan antara pukul 6 petang (10 Julai) sehingga 7 pagi (11 Julai) di Sungai Buntu, di sini.

"Tangkapan ini melibatkan 19 lelaki, enam perempuan dan seorang bayi lelaki berusia setahun, selain turut merampas dua kereta, sebuah bot, 12 telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM1,800.

"Kegiatan penyeludupan migran ini dipercayai aktif sejak Jun lepas, di mana setiap mereka yang mahu keluar dari negara ini daripada jalan yang tidak diwartakan, perlu membuat bayaran antara RM2,000 hingga RM3,700 seorang," katanya.

Kesemua mereka direman sehingga 6 Ogos depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 26A, 26F dan 26J Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Akta Imigresen 1959/63.

-- BERNAMA