Jenazah Mohd Azmi Ismail atau lebih dikenali sebagai Pak Mie, 58, lelaki yang pernah mencetuskan kontroversi apabila memelihara lebih 500 ekor anjing jalanan sejak 10 tahun lalu, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Al Bukhori, Alor Setar tepat jam 11.30 pagi tadi.

Pak Mie menghembuskan nafas terakhir akibat angin hhmar kira-kira jam 11.45 malam tadi di Hospital Ampang, Kuala Lumpur selepas dirujuk dari Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, sejak Khamis lalu.

Menurut isterinya, Halijah Idris, 67, atau lebih dikenali dengan panggilan Mak Intan, dia redha dengan pemergian suami tercinta kerana telah mendedikasikan sepenuh masanya untuk sentiasa berada di sisi arwah sehingga ke nafas yang terakhir.

Allahyarham Pak Mie, yang memelihara kira-kira 700 anjing dan lebih 100 kucing terbiar yang dikutip bersama isterinya, Mak Intan mengundang pelbagai kontroversi sekitar tahun 2013 ekoran cemuhan segelintir masyarakat yang beranggapan Islam melarang membela anjing.

Walaupun pernah dicemuh kerana hobinya yang gemar memelihara anjing, Allahyarham pernah dilaporkan berkata, "saya sudah lali dicemuh, tetapi sifat menyayangi haiwan membuatkan saya dan isteri sentiasa tabah berdepan cabaran’.