JOHOR BAHRU: Seorang peniaga berusia 23 tahun mengalami kerugian kira-kira RM 395,200 selepas diperdaya seorang lelaki warga asing yang dikenalinya menerusi aplikasi Instagram, sejak April lalu.

Ketua Polis Johor, Dato Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, mangsa berkenalan dengan seorang lelaki yang dikenali menerusi laman Instagram bernama “CHONGWEI4580” yang dipercayai berasal dari London.

“Sepanjang perkenalan itu, mangsa telah berhubung dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp sebelum mangsa jatuh cinta dengan lelaki tersebut.

“Pada 10 September lalu, mangsa yang baru kematian suami telah dihubungi suspek yang kononnya bersimpati dengan nasib yang menimpa mangsa dan ingin mengirimkan barang yang mengandungi wang tunai bernilai AS$950,000 (RM3,963,000).”

“Selepas itu, mangsa telah menerima email dari sebuah syarikat penghantaran dari Korea yang meminta mangsa menjelaskan bayaran sebanyak RM6,200 untuk tujuan pelepasan barang daripada pihak kastam," jelas beliau.

Ayob berkata, suspek turut mengugut mangsa sekiranya mangsa enggan membuat pembayaran tersebut, mangsa akan ditangkap kerana bersubahat dalam aktiviti pegubahan wang haram.

“Mangsa yang dalam ketakutan mengikuti segala arahan suspek sehingga mengalami kerugian sebanyak RM395,200.

“Wanita berkenaan telah mengirimkan wang kepada lelaki itu secara berperingkat ke 11 akaun yang berbeza bermula 13 hingga 15 September lalu melibatkan 24 transaksi dengan jumlah keseluruhan berjumlah RM 395,200.00.” Katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang menyedari ditipu telah bertindak membuat laporan polis pada Jumaat dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Orang ramai dinasihatkan berhati-hati dan dan peka dengan jenayah semasa yang berlaku terutama melibatkan transaksi belian dalam talian, pelaburan dan perkenalan atas talian menerusi laman sosial agar tidak menjadi mangsa penipuan.