Pegawai kerajaan, pegawai keselamatan dan remaja di bawah umur merupakan antara 324 orang yang ditahan dalam Op Bersepadu Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pulau Pinang di beberapa pusat hiburan dan kelab malam di sini awal hari ini.

Operasi itu dijalankan bersama Jabatan Imigresen, RELA dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bermula pukul 1 pagi.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata dalam operasi itu, 250 lelaki dan 74 wanita diambil ujian air kencing dan hasil saringan awal mendapati 29 daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine, opiat (tiga orang) dan tetrahydrocannabinol (11 orang).

"Ada di kalangan yang ditahan ini merupakan pegawai kerajaan dan pegawai keselamatan pun ada. Masalah penyalahgunaan dadah di dalam pusat hiburan ini melibatkan semua lapisan masyarakat dan perlu dikekang.

"Selain itu, daripada 324 orang yang ditahan, lebih daripada separuh adalah mereka di bawah umur," katanya kepada pemberita selepas Op Bersepadu itu.

Nur Jazlan berkata 130 anggota terlibat dalam operasi itu membabitkan 112 pegawai dan anggota AADK, SPRM (empat orang) dan masing-masing tujuh orang anggota daripada RELA dan Jabatan Imigresen.

Mengulas mengenai penglibatan remaja dalam aktiviti dadah di pusat hiburan, Nur Jazlan yang juga pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu bersikap tegas terhadap pemilik kelab malam dan pusat hiburan yang melepaskan remaja bawah umur memasuki premis mereka.

"Saya minta PBT supaya jangan tutup mata mengenai isu ini. Pemilik premis tidak boleh melepaskan orang di bawah umur masuk ke dalam premis mereka. PBT perlu memastikan bahawa lesen premis yang didapati melepaskan orang bawah umur ini ditarik balik," katanya.

-- BERNAMA