KUALA LUMPUR: Dua pegawai penguatkuasa ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah selepas disyaki terbabit dalam kegiatan rasuah.

Kedua-dua individu itu disyaki meminta RM8,000 sebagai balasan meringankan hukuman di atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol, di Sabah.

Sumber memberitahu, kedua-dua suspek lelaki berusia antara 30-an hingga 40-an ditahan pada Khamis kira-kira jam 7 malam di pejabat SPRM Sabah ketika diminta hadir memberi keterangan.

“Kedua-dua suspek yang bertugas di  sebuah daerah di negeri Sabah dipercayai meminta wang rasuah berjumlah kira-kira RM8,000 pada 4 Oktober lalu yang mana RM2,000 telah diberikan pada 17 Oktober 2023 kepada salah seorang suspek,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Katanya, kedua-dua suspek telah dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan kedua-dua mereka direkodkan.