MALAYSIA
Pegawai penyiasat maklum pihak atasan tentang pemberian wang kepada Guan Eng

Lim Guan Eng didakwa atas beberapa pertuduhan rasuah melibatkan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Seorang pegawai penyiasat berkata beliau telah memaklumkan pihak atasan mengenai keterangan Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli berhubung pemberian wang kepada Lim Guan Eng berkaitan kes rasuah projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.
Ringkasan AI
- Pegawai SPRM Ng Heng Jun memaklumkan pihak atasan mengenai keterangan Datuk Zarul Ahmad berhubung pemberian wang kepada Lim Guan Eng, namun tidak menyiasat perkara itu kerana ia dikendalikan oleh pegawai lain dalam kes berasingan.
- Lim Guan Eng didakwa atas beberapa pertuduhan rasuah melibatkan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion, termasuk menerima suapan RM3.3 juta dan meminta 10 peratus daripada keuntungan projek.
- Beliau turut berdepan dua pertuduhan melibatkan pelupusan tanah kerajaan negeri bernilai RM208.8 juta, dengan perbicaraan kes bersambung pada 22 Julai di hadapan Hakim Azura Alwi.
"Saya kemudian memaklumkan perkara itu kepada pihak atasan SPRM dan saya dimaklumkan bahawa satu siasatan khas akan dijalankan untuk kes tersebut," katanya yang merupakan pegawai penyiasat bagi kes penipuan Gnanaraja membabitkan wang berjumlah RM19 juta berkaitan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.
Saksi pendakwaan ke-36 itu berkata demikian semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh pada perbicaraan kes rasuah projek pembinaan jalan-jalan utama dan terowong dasar laut di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion membabitkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu.
Ng berkata beliau tidak pernah menghalang Zarul Ahmad, yang merupakan saksi pendakwaan ke-23, memberi keterangan kepada pihak SPRM mengenai pemberian wang kepada Lim.
"Cuma saya minta beliau memberi keterangan mengenai penyerahan wang kepada Lim bagi kes yang dibuka terhadap Lim kerana saya tidak mahu keterangan Datuk Zarul bercampur aduk dengan kes yang disiasat oleh saya kerana kedua-dua kes ini adalah berbeza," katanya.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 64, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu menggunakan kedudukan beliau untuk menerima RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, Ahli Parlimen Bagan itu didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.
Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 22 Julai ini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami