Selepas tiga bulan berehat dan tidak hadir ke sekolah akibat pandemik COVID-19, hari ini 18,066 pelajar Tingkatan Lima dan 2,215 pelajar Tingkatan Enam semester dua di Pulau Pinang kembali memulakan pengajian.

Namun kembali mereka bukan seperti kebiasaan, sebaliknya dengan normal baharu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pengarah Pendidikan Pulau Pinang Abdul Rashid Abdul Samad berkata sebanyak 128 buah sekolah di Pulau Pinang mula dibuka hari ini.

Tambahnya, antara SOP pembukaan semula sekolah ialah pemeriksaan suhu setiap hari bagi pelajar, guru dan individu yang mempunyai urusan dengan pihak sekolah.

Jelasnya, bagi memastikan SOP dipatuhi sepanjang sesi persekolah berlangsung, JPN telah menubuhkan sebuah kumpulan pemantau yang akan melakukan pemantauan di sekolah-sekolah di negeri itu.

"Kita ada 128 sekolah yg beroperasi di Pulau Pinang. Alhamdulillah dengan berkat kerjasama semua pegawai JPN dan PPD serta semua pengetua dan guru, kita telah sediakan perancangan mengikut SOP yang ditetapkan KKM.

"Untuk pengetahuan semua, kita telah tubuhkan pasukan pemantauan di Pulau Pinang yang kita gelar pegawai prosa (program sekolah angkat). Di setiap sekolah akan ada seorang pegawai prosa," kata Abdul Rashid.

Beliau berkata demikian selepas meninjau pembukaan semula persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Tun Uda, di sini, Rabu.

Katanya, antara SOP yang perlu dipatuhi, pelajar tidak dibenarkan makan di kantin sekolah dan digalakkan membawa bekal makanan dari rumah.

Pihaknya turut menetapkan secara purata hanya 18 pelajar ditempatkan dalam satu kelas.

"Di Pulau Pinang sendiri kita ada KPI di mana kita telah tetapkan zero COVID-19 cluster di negeri ini. Itu KPI yang wajib disambut oleh semua sekolah di seluruh Pulau Pinang," kata Abdul Rashid lagi.

Pada 10 Jun lalu, kerajaan mengumumkan tarikh pembukaan semula sesi persekolahan bagi murid-murid kelas peperiksaan awam bermula hari ini Rabu, 24 Jun 2020.

Bagaimanapun pembukaan semula sekolah ini hanya membabitkan pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) serta pelajar peperiksaan antarabangsa.