BUTTERWORTH: Seorang penjawat awam badan beruniform mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM4,345 bagi kelas bimbingan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) pada 2018.

Mejar Mohd Nazeri Noor, 55, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Nazeri yang ketika itu bertugas di Tentera Darat Malaysia didakwa memperdayakan pegawai sel pendidikan am Jabatan Arah Pendidikan, Kementerian Pertahanan Malaysia berhubung bayaran tuntutan bagi kelas bimbingan UPSR dan PT3 bagi anak tentera Pulau Pinang.

Tertuduh yang ketika itu berkhidmat di Sel Pendidikan Markas 2 Divisyen, Kem Tun Razak Bayan Lepas, telah memperdayakan pegawai berkenaan sehingga memproses bayaran keseluruhan berjumlah RM4,345 terhadap tertuduh.

Ketiga-tiga kesalahan didakwa berlaku antara 28 Mac hingga 24 Sept 2018 di Sel Pendidikan, Markas 2 Divisyen, Kem Tun Razak, Bayan Lepas dan kes dikemukakan di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Afiqa Liyana Rozman dan Noor Azura Zulkiflee, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim membenarkan ikat jamin berjumlah RM9,000 bagi tiga pertuduhan selain syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta tidak mengganggu saksi sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 30 Nov ini sebagai tarikh serahan dokumen dan lantikan peguam.

-- BERNAMA