Peguam Albert Tei desak rakaman kamera badan Pegawai SPRM didedah segera kepada umum

Mahajoth Singh menggesa pihak berkuasa tayangkan secara penuh rakaman kamera badan pegawai SPRM semasa serbuan pada 28 Nov lalu. - Foto fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Peguam kepada ahli perniagaan, Albert Tei menegaskan rakaman kamera badan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa serbuan pada 28 November lalu disahkan wujud, sekali gus menimbulkan persoalan mengapa rakaman itu masih belum didedahkan kepada umum.
Ringkasan AI
- Peguam Albert Tei menuntut pendedahan rakaman kamera badan anggota SPRM semasa serbuan 28 November yang disahkan wujud, mempersoalkan kegagalan pihak berkuasa mendedahkan rakaman tersebut kepada awam.
- Mahajoth Singh menegaskan bahawa Ketua Polis Selangor membuat kenyataan pramatang mengenai tiada bukti menyokong dakwaan senjata api diarahkan ke arah Albert Tei dan keluarganya ketika serbuan, kerana keterangan saksi penting diambil selepas kenyataan itu.
- Beliau menyeru supaya rakaman kamera badan dan CCTV yang dirampas dari kediaman Albert Tei didedahkan kepada orang awam tanpa kelewatan, dan menuntut agar dekoder CCTV dipulangkan serta-merta bagi memastikan ketelusan dalam penyiasatan.
Bagaimanapun, Mahajoth menegaskan kenyataan itu dibuat terlalu awal kerana pada ketika itu, polis belum merekodkan keterangan saksi-saksi utama yang berada di lokasi kejadian.
“Saksi-saksi penting termasuk isteri anak guam saya, ibu mentua serta pembantu rumah hanya diambil keterangan mereka pada Selasa.
"Oleh itu, sebarang kesimpulan bahawa tiada bukti adalah pramatang dan tidak wajar,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan kegagalan pihak berkuasa menayangkan rakaman penuh kamera badan itu kepada Albert Tei dan ahli keluarganya, walaupun kewujudannya telah disahkan secara rasmi melalui paparan imej pegun.
Menurutnya, keengganan berterusan untuk mendedahkan rakaman tersebut tidak mempunyai sebarang justifikasi penyiasatan yang sah, malah bercanggah dengan prinsip ketelusan.
Mahajoth berkata, isu berkenaan sebenarnya boleh diselesaikan dengan cepat dan tuntas sekiranya rakaman kamera badan dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dirampas dari kediaman Albert Tei didedahkan kepada orang awam.
“Orang ramai berhak mengetahui apa yang sebenarnya berlaku semasa serbuan itu.
"Tidak ada alasan munasabah untuk menahan rakaman tersebut sambil pada masa sama mengeluarkan kenyataan awam yang mempertikaikan aduan anak guam saya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan tiada asas undang-undang untuk pihak berkuasa terus menyimpan dekoder CCTV yang dirampas dan menuntut supaya peralatan itu dipulangkan serta-merta, selain rakaman CCTV dan kamera badan didedahkan tanpa berlengah.
Media sebelum ini melaporkan, polis masih belum memperoleh bukti atau keterangan yang dapat menyokong dakwaan bahawa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengacukan senjata semasa serbuan dan penahanan Albert Tei di kediamannya di Puchong pada 28 November lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar mengesahkan bahawa satu laporan berhubung kejadian itu telah diterima di IPD Sepang, dibuat oleh seorang wanita yang juga isteri kepada ahli perniagaan terbabit.
Dalam kejadian berkenaan, isteri Albert Tei, Lee Pei Rie mendakwa pegawai SPRM bertindak kasar ketika serbuan dijalankan, termasuk mengacukan pistol ketika digari.
Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sebelum ini menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa operasi penahanan itu dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


