KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bertukar panas apabila peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menyoal bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1MDB Azmi Tahir mengenai gaya hidup mewah ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Muhammad Shafee, ketika menyoal balas Azmi, 49, telah bertanya kepada saksi pendakwaan ke-12 itu sama ada beliau dan pengurusan 1MDB tahu mengenai "gaya hidup Jho Low yang gemar berpesta sakan" selepas ahli perniagaan tersebut didakwa berpesta dengan bintang realiti TV Paris Hilton serta membelikan hadiah untuk model Australia Miranda Kerr yang menjadi tajuk berita sejak 2010.

Azmi berkata 1MDB tidak mengambil tahu mengenai kehidupan peribadi Jho Low.

"Itu adalah kehidupan peribadi Jho Low. Kita ada ahli politik di sini yang kehidupan peribadi mereka juga boleh dipersoal," katanya.

Peguam itu kemudian berkata gaya hidup Jho Low yang gemar berpesta telah mendapat laporan meluas dan jumlah wang yang dibelanjakan untuk berbuat demikian adalah "hampir tidak masuk akal."

Muhammad Shafee juga bertanya mengapa pihak pengurusan tidak memaklumkan lembaga pengarah serta membuat laporan polis mengenai perkara itu dan Azmi menjawab: "Saya tidak nampak kaitan yang anda cuba buat. Ia akan menjadi isu kepada saya jika transaksi yang dilakukan adalah palsu."

Muhammad Shafee turut mengemukakan soalan berkaitan transaksi susulan selepas anak syarikat 1MDB iaitu 1MDB Energy Limited (1MEL) berhutang melalui terbitan bon bernilai US$1.75 bilion pada Mei 2012 untuk membiayai pembelian pengeluar tenaga bebas.

Beliau menyenaraikan pelbagai transaksi dalam carta yang ditunjukkan kepada Azmi termasuk bagaimana bon bernilai US$907.5 juta dan US$1.75 bilion telah dibayar pada 22 Mei 2012 kepada 1MEL dan sejumlah wang hampir US$577 juta dipindahkan kepada sebuah syarikat di Kepulauan British dikenali sebagai Aabar Investments PJS Limited, kini diketahui adalah sebuah entiti palsu yang memiliki nama hampir serupa dengan syarikat sebenar Aabar Investments PJS.

Muhammad Shafee juga berkata Aabar palsu itu kemudian memindahkan lebih US$295 juta daripada Aabar palsu pada 22 Mei kepada Blackstone Asia Real Estate Partners Ltd (syarikat milik sekutu Jho Low iaitu Eric Tan) manakala sejumlah US$133 juta lagi telah dialihkan daripada Aabar palsu kepada Blackstone pada 25 Julai 2012 dan Azmi mengesahkan bahawa jumlah US$577 juta yang dimaksudkan itu adalah deposit sekuriti yang tidak pernah dikembalikan kepada 1MDB.

Peguam itu berkata Blackstone kemudian memindahkan berjuta-juta dolar pada Jun dan Julai 2012 kepada sebuah syarikat yang dimiliki oleh bekas isteri bekas pegawai bank Goldman Sachs Tim Leissner iaitu Judy Chan.

Merujuk kepada carta transaksi dari 22 Mei 2012 hingga 9 Julai 2012, Muhammad Shafee kemudian mencadangkan bahawa "tiada wang yang telah dipindahkan kepada Datuk Seri Najib sama ada secara langsung atau tidak langsung berdasarkan carta ini" dan Azmi menjawab: "Berdasarkan carta ini, ya."

Muhammad Shafee turut mencadangkan bahawa: "... RM90 juta iaitu kira-kira US$30 juta yang telah dipindahkan secara langsung atau tidak langsung, dengan atau tanpa pengetahuan Datuk Seri Najib, anda setuju dengan saya, berdasarkan carta ini, US$30 juta berbanding apa yang Jho Low dan Aabar terima iaitu US$577 juta adalah terlalu kecil?"

"Saya tidak mengatakan US$30 juta itu satu jumlah yang kecil, apa yang saya maksudkan ialah sebagai perbandingan, ia terlalu kecil," katanya.

Ahli Parlimen Pekan itu berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menetapkan esok untuk pengurusan kes.

-- BERNAMA