Lesen mereka yang memandu dalam keadaan mabuk dan menyebabkan kematian wajar ditarik balik untuk seumur hidup, saran pengamal undang-undang.

Peguam Datuk N. Sivanathan berkata apa juga alasan untuk memandu dalam keadaan mabuk dan mendatangkan bahaya kepada orang yang tidak bersalah tidak boleh diterima, apatah lagi pada zaman sekarang yang menyediakan pelbagai perkhidmatan pengangkutan awam termasuk e-panggilan (e-hailing).

"Pada masa sekarang, seseorang yang menyebabkan kematian ketika mabuk berdepan hukuman penjara tiga hingga 10 tahun serta denda RM8,000 hingga RM20,000.

"Saya berpandangan hukuman itu memadai tapi mungkin boleh ditimbang bersama-sama hukuman hilang kelayakan memandu seumur hidup bagi mereka yang disabitkan kesalahan," katanya kepada Bernama.

Beliau juga menyarankan penarikan balik lesen sekurang-kurangnya selama lima tahun dan penjara mandatori enam bulan bagi individu yang disabitkan kesalahan memandu ketika mabuk walaupun tanpa kematian.

BACA: Pemandu mabuk bakal berdepan dengan hukuman penjara 20 tahun

Menurut undang-undang sedia ada, individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol boleh didakwa mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan denda minimum RM1,000 dan maksimum RM6,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan.

Seorang lagi peguam, Nor Zabetha Muhammad Nor pula menyarankan kerajaan meneliti hukuman lebih berat termasuk penjara bagi kesalahan itu sebagai satu bentuk pencegahan selain memberi keadilan kepada keluarga mangsa.

"Setiap tahun terdapat banyak kes melibatkan pemandu mabuk dilaporkan, seolah-olah hukuman sedia ada tidak memadai untuk mencegah orang ramai daripada melakukan kesalahan itu. Secara peribadi, saya percaya perkara ini disebabkan hukuman yang diperuntukkan tidak cukup berat.

"Individu terlibat tahu dia tidak dibenarkan memandu di bawah pengaruh alkohol kerana boleh menyebabkan kecederaan atau kematian kepada pihak lain. Namun, individu itu tidak mengendahkan perkara ini. Perbuatan ini didorong sikap pentingkan diri sendiri," tegasnya.

Beliau bersetuju hilang kelayakan memiliki lesen memandu antara langkah pencegahan yang wajar ditimbangkan oleh pihak berkuasa.

Ahad lepas, anggota polis Kpl Safwan Muhammad Ismail, 31, maut di tempat kejadian selepas dirempuh oleh sebuah kenderaan pikap Toyota Hilux dipandu individu disyaki mabuk di satu sekatan jalan raya berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan di Lebuhraya Kajang-Seremban.

-- BERNAMA