KUALA LUMPUR: Seorang peguam sebuah syarikat pelaburan dan dipercayai mempunyai kaitan dengan pengasas bersama syarikat penerbangan tambang rendah MYAirline telah dibebaskan dengan jaminan polis, pada Jumaat lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata lelaki berumur 62 tahun itu telah dibebaskan pada 9 malam di Balai Polis Pudu, di sini.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata peguam itu akan dipanggil semula untuk menyambung rakaman percakapan.

Pada 27 Okt, empat individu termasuk peguam itu telah ditahan pada Khamis bagi membantu siasatan kes syarikat pelaburan i-Serve dan dipercayai mempunyai kaitan dengan pengasas bersama syarikat penerbangan tambang rendah MYAirline dan masing-masing direman satu hingga empat hari.

Pada 17 Okt lepas, polis menahan seorang pengasas bersama dan pemegang saham sebuah syarikat penerbangan bergelar 'Datuk' serta isteri dan anak lelakinya, bagi membantu siasatan kes mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

-- BERNAMA