AYER KEROH: Seorang peguam didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah membabitkan nilai hampir RM1.3 juta.

Tertuduh, Kingsley Wambeck, 40, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang merupakan peguam di firma guaman Tetuan Kingsley & Co didakwa melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang jualan rumah milik warga emas Lee Hoon Luan Jenny, 79, bernilai RM340,000 bagi kegunaan sendiri pada 13 Julai hingga 8 Oktober tahun lalu.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan curang menyeleweng wang bagi pembayaran pembelian tanah di mukim paya rumput, daerah melaka tengah berjumlah RM945,950 yang dibayar melalui akaun Public Bank milik firma guamannya pada 1 Julai 2016 hingga 31 Julai 2016.

Kesalahan berkenaan di lakukan di Tetuan Kingsley & Co, Taman Kerjasama, Bukit Beruang, Melaka Tengah.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dua tahun dan tidak lebih daripada 20 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Wahidah Mohamad memohon mahkamah mengenakan jumlah jaminan yang tinggi iaitu RM50,000 bagi setiap pertuduhan dengan mengambil kira kerugian yang terpaksa ditanggung mangsa.

Hakim Maziah Joary pada penghakimannya kemudian membenarkan jaminan RM20,000 bagi pertuduhan pertama serta RM30,000 bagi pertuduhan kedua.

Mahkamah turut menetapkan 20 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Tertuduh diwakili peguam Goh Chin Han.