Peguam Negara: Tidak perlu asingkan perundangan dan kehakiman

Hafiz Marzukhi
Oktober 31, 2017 10:29 MYT
Mohamed Apandi menyampaikan sumbangan kepada ibu pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terkorban, Mashawani Mohamed Shahid, pada satu majlis di Jabatan Peguam Negara hari ini. --fotoBERNAMA
Tiada keperluan merealisasikan cadangan mewujudkan mekanisme bagi melaksanakan pengasingan kuasa pentadbir hakim mahkamah rendah di Malaysia, kata Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.
Menurutnya, tujuan utama di sebalik pengekalan bahagian perundangan dan kehakiman dalam satu khidmat yang sama adalah bagi memastikan pegawainyanya serba boleh.
"Sebab utama satu badan perkhidmatan diwujudkan adalah supaya pegawai kita serba boleh.
"Mereka boleh menjadi pendakwa pada mulanya dan satu hari nanti menjadi Hakim Mahkamah Sesyen.
"Oleh itu, mereka boleh menjalankan tugas mereka dengan lebih baik," katanya kepada media selepas menyerahkan sumbangan tabung mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jabatan Peguam Negara di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas saranan pengasingan kuasa tersebut yang dibuat tahun lepas oleh Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Arifin Zakaria.
Pada Julai tahun lalu, Arifin berkata, pihaknya telah menyerahkan kertas kerja pengasingan kuasa kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP).
Beliau menjelaskan, pengasingan kuasa itu penting bagi mengelak konflik kepentingan dalam membuat penghakiman.
Bagaimanapun, Mohamed Apandi hari ini berkata, beliau tidak bersetuju dengan perkara itu yang menurutnya, cadangan itu telah pun ditolak.
"Idea untuk pemisahan (cabang kuasa) tidak datang dari saya, ia datang dari individu lain.
"Saya tidak bersetuju. Saya percaya idea tersebut telah ditolak buat masa ini," katanya.
#Arifin Zakaria #mahkamah #mahkamah rendah #Mahkamah Sesyen #mekanisme #Mohamed Apandi Ali #Peguam Negara #pengasingan kuasa