Peguam Aston Paiva yang mewakili M. Indira Ghandi percaya polis dapat menjejaki bekas suami Indira Ghandi, Muhammad Ridhuan Abdullah yang melarikan anaknya berumur lapan tahun, Prasana Diksa.

Beliau berkata, ia hanya menunggu masa kerana pihak polis telah memaklumkannya kepada pihak berkuasa di pintu masuk di negara ini.

"Jika pihak polis boleh menjejaki seorang ahli pertubuhan pengganas di Malaysia yang menjalankan kegiatan berselindung di bawah operasi rahsia, saya yakin mereka boleh mencari orang ini (Muhammad Ridhuan)," katanya pada sidang media di sini pada Khamis.

Turut hadir ialah Indira, Presiden Jihad For Justice Datuk Thasleem Mohamed Ibrahim dan Pengerusi Bersama, Jawatankuasa Undang-Undang Perlembagaan, Firdaus Husni.

Pada 29 April 2009, Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh memberi hak penjagaan ketiga-tiga anak pasangan itu - Tevin Darsiny, 19, Karan Dinish, 18, dan Prasana Diksa - kepada bapanya yang telah memeluk Islam.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Ipoh pada 11 Mac, 2010, memberi hak penjagaan kanak-kanak itu kepada Indira Ghandi dan membenarkan bapanya melawat ketiga-tiga kanak-kanak itu seminggu sekali.

Pada 30 Mei, 2014, Mahkamah Tinggi Ipoh mengeluarkan waran tangkap ke atas Muhammad Ridhuan selepas dia gagal mematuhi perintah Mahkamah Tinggi supaya menyerahkan Prasana Diksa kepada ibunya.

Indira juga telah memperoleh perintah mendapatkan kembali (recovery order) dari Mahkamah Tinggi untuk mengarahkan polis mengesan Muhammad Ridhuan.