PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri mengingatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) agar mengetepikan sentimen politik ketika mengagihkan bantuan banjir kepada rakyat.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pejabat daerah misalnya, perlu ‘buta warna’ dan memberi bantuan kepada semua penerima yang layak, tanpa mengikut parti yang disokong.

Tegasnya, beliau mendapat laporan tahun lepas mengenai kejadian hanya individu tertentu mendapat bantuan banjir.

“Kita telah mulakan pembayaran melalui pejabat-pejabat daerah dan saya harap pejabat daerah mesti 'buta warna' (parti politik) dari segi pengagihan.

“Jangan… saya dapat tahu tahun lepas hanya warna tertentu sahaja dapat. Ini wang Persekutuan dan kita serahkan kepada agensi negeri dan daerah.

“Bantuan itu bertujuan untuk diberikan kepada mangsa terlibat, bukan mengikut warna (parti politik). Ini mesti dilakukan kalau mereka benar-benar jujur untuk membantu rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Taklimat dan Penyelarasan Situasi Bencana Terkini di Pejabat Timbalan Perdana Menteri di Putrajaya pada Selasa.

Mengulas mengenai banjir hujung tahun lepas, Ahmad Zahid berkata negeri paling teruk terjejas adalah Kelantan manakala lokasi paling teruk pula ialah daerah Pasir Mas.

“Kita lihat tahun lepas luruan hujan itu adalah punca utama tahap air itu tinggi tapi tahun ini lebih tinggi…tetapi mangsa tidak sebanyak tahun lepas.

“Ini sebab kita bekerjasama dengan MetMalaysia bagi pemindahan dilakukan lebih awal apabila kita mendapat notifikasi daripada MetMalaysia.

“Ini SOP (prosedur operasi standard) baharu yang kita gunakan,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya sekarang bersiap sedia untuk menghadapi banjir di Sabah dan Sarawak.

“Ini mungkin akan berlaku dalam bulan Februari tapi kita siap siaga, kita mulakan persiapan dari sekarang,” katanya.