KUALA LUMPUR:Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) menggesa kerajaan meminda Akta Perhutanan Negara 1984 selain meletakkan akta tersebut di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

Presiden PEKA, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, dengan cara itu sahaja semua hutan di negara ini dapat dipelihara daripada tindakan rakus pihak tidak bertanggungjawab.

"Langkah terbaik untuk selamatkan hutan adalah dengan meminda akta dan meletakkannya di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

"Ini kerana, akta di bawah kerajaan negeri, mereka boleh buat sesuka hati malah, Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai kuasa dalam akta itu," katanya kepada Astro AWANI di sini, pada Sabtu.

Dalam pada itu, Shariffa Sabrina turut menyifatkan akta yang digubal sejak 1984 itu telah lapuk dan memerlukan nafas baharu.

"Selagi kerajaan tidak menukar akta sedia ada di mana ia masih di bawah kerajaan negeri, semua hutan tidak mampu dijaga dan akan ada pembalakan berlaku.

"Ini boleh dilihat setiap kali Menteri Besar bertukar, akan ada pembalakan berlaku, saya tidak nafikan ia juga ada kaitan dengan pihak atasan," ujarnya.

Sementara itu, beliau menambah, jika perkara itu tidak dipandang serius Kerajaan Persekutuan, negara bakal kehilangan lebih banyak hutan termasuk di Banjaran Titiwangsa.

"Sebagai contoh, jika kerajaan masih tidak mewartakan Banjaran Titiwangsa sebagai kawasan simpanan kekal dan tidak boleh dikacau sesiapapun, ia pasti akan musnah.

"Selain itu, kemusnahan tetap berlaku kerana undang-undang sedia ada tidak berpihak kepada rakyat dan akhirnya yang menerima kesannya adalah rakyat khususnya orang Asli.

"Usah bercakap tentang binatang kerana kemusnahan hutan juga akan menyebabkan kepupusan berlaku," katanya.