Seorang pekebun bunga warga Bangladesh ditemui mati tertimbus dalam kejadian tanah runtuh dipercayai akibat hujan lebat di Batu 49, Kuala Terla, di sini pada awal pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, DSP Hasadid A. Hamid berkata mangsa yang dikenali sebagai Md Belel Miidha, 28 tahun dipercayai maut akibat tertimbus di bawah timbunan tanah dalam kejadian sekitar 3 pagi itu.

Katanya, semasa kejadian mangsa dipercayai sedang tidur dalam sebuah bangsal atau pondok yang didirikan di lereng bukit kebun bunga milik pengadu.

“Menurut keterangan saksi iaitu pekerja pemilik kebun bunga berkenaan, mangsa telah datang untuk bertemu dengan saudaranya dan tidur di dalam pondok berkenaan.

“Sekitar 3 pagi, hujan lebat berterusan telah menyebabkan kejadian tanah runtuh dan mangsa tidak sempat melarikan diri sebelum tertimbus di dalam runtuhan lumpur itu,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Rabu.

Tambahnya, pemilik berkenaan telah dihubungi untuk ke lokasi kejadian dan mendapati dua orang pekerjanya sedang mengeluarkan mayat mangsa sesampainya beliau di kebun bunga tersebut.

Jelasnya, mayat mangsa telah dihantar ke hospital bagi tujuan bedah siasat.

Sementara itu, Hasadid berkata laporan daripada Jabatan Kerja Raya dan pihak polis mendapati terdapat insiden tanah runtuh di beberapa lokasi lain sekitar Brinchang dan Ringlet sejak tengah malam Rabu.

“ Pihak polis telah menerima maklumat dan setelah pemantauan dilaksanakan, kami mendapati tanah runtuh di Brinchang tidak melibatkan laluan kenderaan utama dan memasang tali penghalang serta papan tanda amaran JKR.

“Selain itu, satu lagi kejadian tanah runtuh berlaku di jalan masuk Kebuh The Boh, Habu, Ringlet di mana orang ramai memaklumkan jalan tidak boleh dilalui.

“Justeru JKR telah dihubungi bagi tujuan pembersihan dan sekitar 9.35 pagi operasi pembersihan tamat dan laluan selamat bagi semua kenderaan,” katanya lagi.