GUA MUSANG: Seorang pekebun Orang Asli yang mengusahakan keledek di Kampung Redip, Pos Hau di sini, meraih permintaan tinggi menerusi platform media sosial TikTok dan Facebook.

Hasil kemudahan WiFi yang dipertingkatkan kerajaan di sini, Razali Ayeh, 48, dari suku kaum Temiar berjaya menembusi pasaran lebih luas dan menjangkakan anggaran keuntungan RM5,000 untuk tuaian akan datang.

Razali mula mengusahakan keledek kuning dan ungu April lepas dan kini memiliki lebih 4,000 pokok ubi berkenaan serta bakal memungut hasil sebanyak satu tan apabila kesemua tanaman itu matang kelak.

"Saya memberanikan diri untuk terjun ke bidang ini (tanaman keledek) selepas mempunyai keyakinan setelah menyertai kursus pertanian anjuran Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Jabatan Pertanian, selepas kecewa kerana kebun pisang berangan dan tanduk, serta tanaman nangka dirosakkan gajah beberapa tahun lalu.

"Syukur alhamdulillah setakat hasil jualan ubi ini menjadi punca pendapatan saya dan keluarga," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.

Katanya beliau hanya mengusahakan tanaman itu dalam skala kecil iaitu seluas kurang 0.4 hektar sahaja dan berjaya menjual sebanyak 300 kilogram (kg) keledek kepada penduduk setempat pada dua bulan pertama.

Razali berkata beliau menjual ubi pada harga RM5 sekilogram dan pada masa sama menawarkan pelanggan untuk merasai pengalaman memetik sendiri ubi di kebunnya.

"Saya juga memberi potongan harga kepada pelanggan yang membeli lebih daripada 10 kg pada harga RM4 sekilogram," katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada JAKOA kerana menyuntik kembali semangatnya yang hilang selepas kebunnya dimusnahkan gajah dengan menjemput beliau menyertai kursus tersebut di Jabatan Pertanian Besut, Terengganu, tahun lepas.

-- BERNAMA