Kerajaan digesa menghapuskan yuran RM10,000 bagi setiap Permit Import (AP) Terbuka yang dikenakan pengusaha kereta bumiputera selama ini.

Presiden Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema), Datuk Zainuddin Abd Rahman berkata yuran itu memberi kesan dan menjejaskan prestasi ramai pengusaha automatif bumiputera di negara ini.

"Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) kata pandangan daripada masyarakat luar memang mahu AP dihapuskan tetapi saya beritahu (Tun Daim) kita belanja besar untuk bilik pameran.

"Saya sendiri belanja RM20 juta dan komitmen lain selama ini termasuk dalam penyediaan bilik pameran kereta.

"Kalau ada AP boleh kawal harga kereta baru. Tidak sewenang-wenangnya naikkan harga bila ada orang lain import," katanya selepas sesi taklimat Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) di Menara Ilham pada Selasa.

Sebelum ini, ada pengimport persendirian yang berdepan dengan margin keuntungan yang sedikit, sekali gus memaksa mereka untuk mengurangkan saiz operasi, termasuk mengurangkan jumlah pekerja untuk menanggung kos operasi yang termampu akibat yuran tersebut.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengedar Proton Edar Malaysia, Liew Vee Lee berkata kerajaan harus memikirkan kaedah terbaik untuk memastikan penyelesaian isu faedah tinggi kenderaan Proton berbanding kereta asing.

Selain itu, Vee Lee mahu lebih masa untuk jurutera kereta negara menyesuaikan diri dengan kemahiran yang dibawa gergasi automobil rakan strategik Proton, Zhejiang Geely Holding Group Co., Ltd (Geely) sejak 2017.