JOHOR BAHRU: Pekerja am sebuah rumah kebajikan mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan amang seksual dan rogol kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun, Mei lalu.

Pengakuan itu dibuat dihadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob di Mahkmah Sesyen Johor Bahru hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh, Sal Kim Kok, 42, berhadapan tiga pertuduhan melakukan amang seksual terhadap mangsa.

Tertuduh juga berdepan satu pertuduhan merogol mangsa sama.

Kesemua kesalahan dilakukan di sebuah rumah kebajikan di Taman Century di sini sekitar bulan Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak- kanak 2017 dan Seksyen 376(2)(e) Kanun Keseksaan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Chan Choon Yew, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah memutuskan tiada sebarang jaminan dibenarkan terhadap tertuduh dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 22 September depan.

Pada 28 Julai, media melaporkan seorang lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan kes melibatkan merogol kanak-kanak perempuan yang tinggal di sebuah rumah kebajikan.