Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali sahkan sudah menahan pegawainya yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang berhubung dakwaan terlibat menyeludup warga Bangladesh ke Malaysia.

Mustafar bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah pegawai yang ditahan, namun menegaskan tindakan lanjut kini dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Kita telah ambil tindakan seperti yang saya sebut tadi, tindakan berterusan kita akan laksanakan dan kita akan lakukan tangkapan ke atas dalang, kalau ada, tanpa kompromi," katanya dalam sidang media selepas perhimpunan bulanan Jabatan Imigresen pagi tadi.

Mustafar juga memaklumkan pihaknya sudah menghantar pasukan khas ke Bangladesh Ahad lalu, bagi melakukan semakan lanjut.

Sebuah akhbar tempatan minggu lalu mendedahkan sindiket penyeludupan warga Bangladesh melalui KLIA yang diuruskan empat kumpulan beroperasi di Dhaka.

Sindiket berkenaan didakwa mendapat keuntungan sehingga RM5.2 juta daripada bayaran dikenakan ke atas setiap seorang warga Bangladesh yang diseludup ke Malaysia.

Bayaran 'pelincir' juga didakwa dibayar kepada beberapa pihak berkuasa, termasuk anggota dan pegawai Jabatan Imigresen serta pegawai kedutaan Malaysia di Dhaka.

Mustafar menjelaskan tindakan buang kerja bakal dikenakan ke atas pegawai yang terlibat, bergantung kepada tahap penglibatan mereka dalam sindiket berkenaan.