IPOH: Pekerja yang enggan mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 kerana menyebabkan suasana tempat kerja yang tidak selamat.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M.Saravanan berkata walaupun tiada peruntukan undang-undang yang mewajibkan pengambilan vaksin COVID-19 namun AKKP 1994 menuntut majikan memastikan persekitaran tempat kerja yang selamat dan tidak mengancam kesihatan pekerja.

"Akta berkaitan keselamatan tempat kerja masih boleh dikuatkuasakan sebab tempat itu tidak selamat dari segi persekitaran," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada balu seorang pengawal keselamatan di Taman Buntong Ria, di sini hari ini.

Pada 29 Dis tahun lalu, Thava Sagayam, 64, cedera selepas diserang oleh seorang penyewa sebuah kondominium di sini selepas anaknya dilarang menggunakan kolam renang yang ditutup.

Mangsa dimasukkan ke hospital kerana kecederaan dialami dan menjalani beberapa siri pembedahan di bahagian kepala dan meninggal dunia Jumaat lalu.

Dalam pada itu, Saravanan berkata kilang atau premis yang tidak mempunyai ruang pengudaraan yang baik juga boleh dikenakan tindakan mengikut akta sama.

Justeru, beliau meminta semua pihak bersama-sama menyokong pendekatan program vaksinasi bagi memastikan negara bebas daripada jangkitan COVID-19 khususnya di tempat kerja.

Rabu lepas, Presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia Dr Shawaludin Husin dilapor berkata majikan tidak mempunyai kuasa untuk memaksa kakitangan mengambil vaksin COVID-19.

Menurut Shawaludin paksaan ialah langkah tidak wajar pada waktu ini kerana tiada peruntukan undang-undang yang mewajibkan pengambilan vaksin COVID-19 terhadap mana-mana individu.

-- BERNAMA