MUAR: Seorang pekerja kebun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas 34 pertuduhan merogol dan amang seksual fizikal terhadap tiga anak kandungnya yang kini berusia 12, 17 dan 18 tahun sejak mereka berusia enam tahun.

Seorang daripada anaknya, kini hamil tujuh bulan.

Tertuduh yang berusia 41 tahun bagaimanapun hanya membuat pengakuan bersalah atas 27 pertuduhan sejurus kesemua 34 pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Irwan Suaibon.

Mahkamah menangguhkan hukuman pada 16 November ini sementara menunggu fakta lengkap kes berkenaan.

Mengikut 20 pertuduhan di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan, tertuduh didakwa merogol tiga anak kandungnya yang mana hubungan itu tidak dibenarkan untuk berkahwin di bawah hukum agama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang hanya membuat pengakuan bersalah atas 15 pertuduhan berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Tertuduh turut didakwa atas tiga pertuduhan di bawah Seksyen 377D akta sama kerana melakukan kelucahan melampau. Dia mengaku bersalah atas dua daripada tiga pertuduhan berkenaan.

Berikutan itu, dia boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, jika didapati bersalah.

Sementara itu, tertuduh turut mengaku bersalah atas 10 pertuduhan di bawah Seksyen 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana melakukan amang seksual sedangkan dia mempunyai hubungan amanah sebagai bapa kandung.

Justeru, bapa lima anak itu turut berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan bagi setiap pertuduhan.

Selain itu tertuduh turut mengaku bersalah menyentuh anak keduanya bagi maksud seksual dan didakwa mengikut Seksyen 14(a) akta sama.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di rumah sewa mereka di enam lokasi berasingan sekitar daerah Muar sejak tahun 2012 sehingga Oktober 2023 yang lalu.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Daniel Munir tidak mencadangkan sebarang jaminan sementara menunggu sebutan semula kes terhadap tujuh pertuduhan yang dinafikan oleh tertuduh.

Katanya, kesalahan dilakukan adalah serius dan pihak pendakwaan mempunyai alasan munasabah untuk mempercayai tertuduh melakukan semua kesalahan berkenaan selain mengambil kira kesemua mangsa merupakan anak kandung.

Hakim kemudian memutuskan untuk tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 16 November ini sebagai tarikh jatuh hukum bagi 27 pertuduhan dan sebutan semula kes bagi tujuh lagi pertuduhan lain.

Tertuduh tidak diwakili peguam.

Menurut fakta kes, kejadian itu terbongkar apabila ibu saudaranya mendapati perubahan fizikal terhadap anak kedua tertuduh sebelum menjalani pemeriksaan dan mendapati dia sedang hamil.