GUA MUSANG: Seorang pekerja ladang maut dipercayai dilanyak oleh seekor gajah dalam kejadian di Ladang Upayapadu, Sungai Bayu di sini pada Isnin.

Warga Indonesia yang maut itu dikenali sebagai Sandra Kirana Sinaga, 39, dikatakan diserang oleh gajah liar daripada jenis Elephas Maximus.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, pihaknya menerima panggilan berkait kejadian itu pada jam 10 malam daripada pihak Pengurusan Upayapadu Plantation Berhad, Sungai Bayu.

"Hasil siasatan yang dijalankan, kita percaya gajah-gajah liar yang sering menimbulkan konflik di Ladang Upayapadu daripada kumpulan yang berasal dari Hutan Simpan Lebir yang dianggarkan lebih kurang 30 ekor.

"Pada masa sama, gajah dari kumpulan ini juga sering menimbulkan konflik di beberapa lokasi seperti di Kampung Belia, Miak, Pasir Linggi, Rahmat, Sungai Bayu, Sungai Lakit, Kenangan dan Mutiara," katanya.

Menurut beliau, selain Ladang Upayapadu kawasan ladang sekitar seperti CT Dragon, NH Timber, SLST, UPSB, Fauzi Lim, Pantas, NYS Timber, Maju Jaya KK Timber, Teroka Tuah, Gemalai Plantation, Felda Aring 3,4,6,7& 8, Melati Aman, Estate Havea dan JFL turut berdepan ancaman ini.

Ujarnya, mengikut rekod pihaknya telah menerima 12 aduan gangguan gajah liar sepanjang tempoh 2019 hingga 2023 di ladang tersebut dan kawasan sekitarnya.

Mohamad Hafid memberitahu, antara tindakan yang diambil ialah melakukan siasatan, pemantauan dan kawalan keselamatan serta khidmat nasihat.

"Untuk makluman, sepanjang tempoh 2019 hingga 2023 pihaknya telah berjaya menangkap dan memindahkan sebanyak 90 ekor gajah konflik di Kelantan.

"Kami telah mengambil langkah proaktif untuk mengurangkan konflik manusia-gajah di kawasan terlibat melalui pelbagai tindakan termasuk operasi tembak halau, kawalan, pemantauan dan khidmat nasihat serta tangkap pindah," katanya.

Beliau memohon kerjasama pemilik ladang supaya mengamalkan amalan pertanian yang baik seperti, sistem pagar elektrik gajah (SPEG), parit gajah dantidak membiarkan kawasan ladang yang tidak ditanam dalam keadaan semak samun.

Tambahnya, aduan gangguan hidupan liar perlu disalurkan segera kepada talian hotline Perhilitan 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian tersebut.