KUALA LUMPUR: Sebanyak 97.71 peratus pekerja gig dalam perkhidmatan penghantaran makanan dan barangan (p-hailing) di negara ini merupakan golongan belia berusia 15 hingga 30 tahun.

Menurut laporan kajian Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melibatkan seramai 6,657 orang pekerja p-hailing itu, sebanyak 2.29 peratus lagi merupakan golongan warga emas berusia lebih 60 tahun.

Hasil kajian itu juga menunjukkan 63.39 peratus daripada jumlah pekerja p-hailing tidak mempunyai apa-apa simpanan.

"Hasil dapatan kajian menunjukkan bahawa seramai 97.71 peratus pekerja p-hailing merupakan golongan belia yang terdiri daripada individu yang berumur 15 hingga 30 tahun, manakala 2.29 peratus merupakan golongan warga emas yang terdiri daripada individu yang berumur melebihi 60 tahun.

"Terdapat 36.61 peratus pekerja p-hailing mempunyai simpanan mahupun pelaburan sendiri manakala 63.39 peratus tidak mempunyai apa-apa simpanan," jelas kenyataan itu.

Analisis kajian itu turut mendapati lebih 26 peratus pekerja p-hailing memperoleh pendapatan antara RM1.501 hingga RM2,499.

Manakala lebih 23 peratus mempunyai pendapatan RM1,500 ke bawah dan lebih 11 peratus berpendapatan RM2,500 hingga RM3,170.

"Maklumat pekerjaan dan pendapatan juga mendapati sebanyak 73.98 peratus pekerja p-hailing menjadikan pekerjaan ini sebagai sumber pendapatan utama.

"Sebanyak 70.35 peratus pula menjadikan p-hailing sebagai pekerjaan utama manakala 29.65 peratus individu tidak menjadikan p-hailing sebagai pekerjaan utama mereka," jelas kenyataan itu lagi.

Daripada 29.65 peratus itu, lebih 14 peratus merupakan pekerja swasta, 7.12 peratus pekerja kerajaan, 5.60 peratus bekerja sendiri.

Manakala 1.46 peratus adalah pelajar dan 1.25 peratus merupakan pekerja badan berkanun.

Kajian turut mendapati hanya 45.07 peratus mempunyai polisi insurans sendiri manakala 54.93 peratus tidak mempunyai sebarang polisi insurans.

Dari sudut caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pula sebanyak 72.25 peratus telah mencarum.

Bagaimanapun, 27.75 peratus tidak melakukan sebarang caruman dengan Perkeso.

"Seterusnya hanya 22.05 peratus pekerja p-hailing yang mencarum dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), manakala 77.95 peratus tidak melakukan sebarang caruman dengan KWSP.

"Dari segi waktu bekerja pekerja p-hailing dalam seminggu menunjukkan bahawa tiga kategori tertinggi ialah yang bekerja antara tempoh 49 jam sehingga 84 jam seminggu (30.79%).

"Diikuti 30 jam sehingga 48 jam seminggu (25.84%) dan kurang daripada 30 jam (25.42%)," jelas kenyataan DOSM itu lagi.