KEPALA BATAS: Seorang pekerja swasta di Pulau Pinang berputih mata selepas kerugian RM32,400 apabila menjadi mangsa penipuan sindiket yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Assisten Komisioner Noorzainy Mohd Nor berkata, wanita berusia 21 tahun itu menerima panggilan telefon daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai daripada 'LHDN' yang memaklumkan mangsa ada tunggakan cukai syarikat berjumlah RM17,600.

Mangsa pada awalnya menafikan mempunyai syarikat persendirian, namun, panggilan itu disambungkan kepada seorang lelaki kononnya pegawai polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Setar, Kedah.

Suspek kemudiannya mendakwa akaun bank mangsa terlibat dengan kes pengubahan wang haram dan wang simpanannya akan dibekukan untuk siasatan selanjutnya.

Noorzainy berkata, mangsa yang panik telah mengikut arahan suspek yang memintanya menyerahkan semua maklumat perbankan beserta kod verifikasi (TAC/ OTP) kepada suspek.

Mangsa juga diingatkan untuk tidak memaklumkan kepada sesiapa berhubung perkara tersebut.

“Wanita itu kemudiannya menerima mesej dari pihak bank yang memaklumkan wang simpanannya berjumlah RM 32,400 telah dipindahkan ke akaun bank lain.

“Mangsa kemudiannya cuba menghubungi semula pegawai berkenaan namun gagal dan menyedari telah menjadi mangsa penipuan sindiket penipuan tersebut lalu tampil membuat laporan polis semalam,” kata Noorzainy dalam kenyataan pada Selasa.

Noorzainy berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah percaya dengan sebarang panggilan telefon dari mana-mana agensi kerajaan yang meminta  maklumat perbankan secara atas talian.