KUALA LUMPUR: Dewan perniagaan dan perdagangan asing menggesa kerajaan untuk menilai semula prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 susulan kesannya terhadap syarikat multinasional yang beroperasi di negeri industri Selangor dan Johor.

Difahamkan surat daripada Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia-Jerman (MGCC) serta Dewan Perdagangan Industri Jepun Malaysia (Jactim) telah dikirim ke Putrajaya beberapa hari lepas bagi menjelaskan impak sekatan yang dikenakan.

Dua surat masing-masing dikirim oleh Jactim pada 6 Julai dan MGCC (8 Julai).

Dalam surat itu, Jactim mendakwa, banyak syarikat Jepun terpaksa menghentikan operasi berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) oleh kerajaan.

Menurut Presiden Jactim, Daiji Kojima, daripada 1,500 syarikat Jepun di Malaysia, 40 peratus atau 650 syarikat berpusat di Selangor dan mereka sangat terjejas oleh PKPD di Selangor dan Kuala Lumpur.

Beliau mendakwa, banyak syarikat berkenaan terpaksa menghentikan sepenuhnya operasi pengeluaran mereka kerana perlu mematuhi SOP.

"Setelah operasi dihentikan, ia memerlukan waktu yang lama untuk memulakan kembali produksi dan dalam beberapa kes, produksi mungkin tidak dapat disambung sama sekali. Ini akan membawa kerugian besar kepada syarikat-syarikat ini,” kata Kojima dalam surat itu.

Sehubungan itu, Jactim menggesa kerajaan agar membenarkan semua industri beroperasi pada 10 peratus tenaga kerja seperti pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 tahun lalu.

Kerajaan juga, kata Jactim, harap dapat segera meningkatkan kadar vaksinasi di Selangor yang menghasilkan 24.2 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

Selanjutnya, Jactim juga, kata Kojima, menggesa kerajaan untuk membenarkan industri automatif, besi dan keluli kembali beroperasi sepenuhnya.

"Mereka kini beroperasi dengan hanya 10 peratus tenaga kerja selama lebih daripada satu bulan sementara inventori mereka hanya akan bertahan 1.5 bulan. Industri-industri ini penting kepada kedua pasaran domestik dan asing. Justeru, kerajaan digesa untuk membenarkan mereka beroperasi semula.

"Seperti yang telah kami tekankan sejak awal, operasi industri pembuatan tidak akan dapat berfungsi kecuali rantaian bekalan dan perkhidmatan yang berkaitan dengan pembuatan turut beroperasi.

"Juga mustahil untuk menyimpan produk dan alat ganti yang dikeluarkan secara berterusan di gudang tanpa membenarkan aktiviti penjualan dan eksport," kata Kojima lagi.

Oleh itu, tambah Jactim, adalah penting untuk membenarkan rantaian bekalan dan perkhidmatan yang berkaitan dengan pembuatan beroperasi semula

"Kami berharap kerajaan menilai dengan tepat kesan dan impak yang dibawa oleh sekatan saat ini dan segera menerapkan langkah-langkah yang telah kami cadangkan," ujar Kojima lagi.

Sementara itu, MGCC pula menyuarakan kebimbangan berkaitan kekeliruan SOP serta mencadangkan beberapa pendekatan diambil bagi menilai impak sekatan pergerakan ketika ini.

MGCC menggesa kerajaan menyelaraskan satu pendekatan yang memboleh syarikat melindungi pelaburan dan kakitangan, serta membuat perancangan untuk masa akan datang.

"Apa yang paling penting, perlunya komunikasi yang tekal dan jelas agar penguatkuasaan, perangkaan prosedur operasi standard dan rancangan pemulihan dibuat dengan baik," kata MGCC.

Menurut MGCC, selepas pengumuman berkenaan penguatkuasaan PKPD di hampir seluruh Selangor dan sejumlah kawasan di Kuala Lumpur, perubahan SOP telah mencetuskan kekeliruan dalam kalangan anggota mereka.

"PKPD masih belum ditunjukkan dalam sistem CIMS 3.0 Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) tetapi syarikat pembuatan bergantung kepada surat MITI untuk beroperasi dan membolehkan pekerja berulang alik ke tempat kerja dengan selamat.

"Dalam satu kes, klasifikasi perkhidmatan penting ditarik balik dalam masa sehari tanpa sebarang makluman atau penjelasan. Dalam kes lain, polis bertegas dengan surat MITI walaupun syarikat tidak termasuk di bawah bidang kuasa kementerian itu," kata MCC dalam surat itu lagi.

Kata MGCC, anggotanya kian bimbang dengan kesan yang ‘keruntuhan’ rantaian bekalan jika hanya sektor tertentu dibenarkan beroperasi tetapi industri pembekalan dilarang.