PUTRAJAYA: Keyakinan pelabur terhadap Malaysia kini semakin baik, dan ia akan mendorong lebih banyak pelaburan masuk ke negara ini tidak lama lagi, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) di sini hari ini, Fahmi berkata keyakinan itu dizahirkan para pelabur ketika beliau bertemu mereka di London baru-baru ini sewaktu melakukan lawatan kerja sempena Minggu Teknologi London (LTW) 2023.

Beliau berkata misi pelaburan ke LTW 2023 dari 12 hingga 16 Jun itu juga menyaksikan Malaysia meraih komitmen pelaburan bernilai RM8.3 bilion dalam pelbagai sektor teknologi digital.

"Kita telah tinggalkan satu perasaan positif dalam kalangan pelabur, mereka (dapat) rasa hala tuju, kestabilan politik dan keupayaan Malaysia untuk jadi pusat tumpuan bagi pelaburan.

"Mereka ada keyakinan tambahan. Insya-Allah, tidak mustahil, dalam masa tidak berapa lama lagi lebih banyak pelaburan masuk ke negara kita," katanya.

Fahmi seterusnya menyeru agensi dan jabatan di bawah KKD untuk tidak bekerja secara silo, sebaliknya perlu saling bekerjasama mengetengahkan produk digital atau industri kreatif yang bertepatan di forum antarabangsa seperti LTW tahun depan.

"Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) atau Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) sebagai contoh, wajar mengumpulkan produk bersesuaian daripada agensi-agensi KKD untuk diperkenalkan kerana ia membantu eksport ekonomi digital.

"Ini datangkan hasil kepada negara... bekerjasama dan bergerak pantas ke depan," katanya.

Sementara itu Fahmi berkata Finas perlu memainkan peranan membantu membawa karya filem dan industri kreatif untuk diketengahkan ke pasaran luar negara seperti di rantau Asia Tenggara yang mempunyai jumlah populasi 650 juta orang.

"Realitinya, kalau kita lihat audiens di Malaysia untuk filem, tidak besar mana. Daripada jumlah 34 juta rakyat Malaysia, yang benar-benar menonton filem mungkin tidak cecah 10 juta.

"Bila lihat rantau Asia Tenggara, jumlah penduduk 650 juta dan tidak perlu pergi jauh, Singapura, Indonesia dan Brunei ini, mereka ada rumpun Melayu dan Bahasa Melayu mudah difahami audiens, dan kita teliti usaha untuk eksport filem ke negara berkenaan," katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan di atas filem-filem Malaysia yang menerima penganugerahan dan menempah kejayaan di peringkat antarabangsa, yang jelas membuktikan tentang kebolehan dan bakat besar yang ada dalam industri filem Malaysia.

Sebelum ini filem indie 'Tiger Stripes' terbitan syarikat Ghost GRRRL Pictures Sdn Bhd mencipta sejarah dengan menjadi filem Malaysia pertama memenangi hadiah utama untuk filem terbaik di Minggu Pengkritik Cannes, bar sisi (sidebar) untuk Festival Filem Cannes yang berprestij dari 17 hingga 25 Mei lepas.

Filem 'Abang Adik' pula berjaya melakar sejarah apabila memenangi tiga anugerah utama pada Far East Film Festival Ke-25 yang berlangsung di Udine, Itali pada 21 hingga 29 April lepas, selain berjaya memenangi trofi Golden Mulberry, Black Dragon Critics dan Anugerah White Mulberry untuk filem cereka terbaik.

-- BERNAMA