Pelaburan Malaysia di United Kingdom (UK) menunjukkan peningkatan apabila syarikat-syarikat negara, termasuk syarikat berkaitan kerajaan, membuat pelaburan dalam hartanah selain membeli bangunan di London.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia pelabur kedua terbesar di London akan menjadi peserta utama dalam pembangunan hartanah di bandar raya metropolitan itu.

Beliau berkata antara syarikat yang menunjukkan minat untuk melabur di bandar raya itu ialah Mara, yang kini meninjau beberapa hartanah di London dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan dana yang besar, melihat peluang untuk melabur di sini.

Malah kuota bagi syarikat Malaysia dalam projek pangsapuri Battersea Power Station, dekat sini telah direbut oleh syarikat Malaysia dan lebih banyak lagi syarikat dari Malaysia yang membeli hartanah di bandar raya tersebut, kata beliau.

"Ini bagus bagi ekonomi (Britain)," kata Najib semasa sesi soal jawab dengan media Britain selepas pengumuman rasmi Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) kesembilan di Greater London Authority City Hall di sini pada Rabu.

Hadir sama Datuk Bandar London Boris Johnson, Pengerusi Yayasan WIEF Tun Musa Hitam, Menteri Perdagangan dan Pelaburan Britain Lord Green of Hurstpierpoint dan Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Anifah Aman.

Pada masa ini, pelaburan terbesar Malaysia di UK ialah pembangunan semula stesen janakuasa itu pada kos lapan bilion pound (RM39.2 bilion).

Ia dimiliki konsortium Malaysia yang terdiri daripada KWSP, Sime Darby Bhd dan SP Setia Bhd.
Najib berkata dengan Forum WIEF pada Oktober ini, yang pertama kali diadakan di luar negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), akan membuka banyak peluang untuk perbincangan antara kedua-dua pihak mengenai kerjasama perniagaan yang akan membawa kepada pelbagai cadangan perniagaan aktif.