BALING: Seorang wanita mengandung antara dua individu yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam skim pelaburan tidak wujud sehingga mengakibatkan mangsa mengalami kerugian berjumlah hampir RM1.2 juta.

Ketua Polis Daerah Baling Supt Shamsudin Mamat berkata, penahanan dua wanita berusia 30-an itu dilakukan di sekitar daerah ini pada petang Rabu.

Katanya, usaha memburu suspek dilakukan selepas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling menerima sebanyak 33 laporan polis dari mangsa yang terlibat.

“Suspek memperdaya mangsa dengan mempengaruhi mereka untuk menyertai skim pelaburan yang dikenali sebagai 'Savingbywaniey' atau 'Free Cash'.

“Kegiatan suspek mula dikesan awal Jun lalu apabila seorang pembantu kedai berusia 30 tahun tertarik dengan satu iklan di laman Facebook menggunakan nama Eypolwaniey.

"Ia mengiklankan tentang Savingbywaniey yang didakwa diwujudkan bagi tujuan pelaburan atau simpanan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mangsa bersetuju menyertai pelaburan itu dengan modal sebanyak RM6,000, yang didakwa memberi pulangan RM12,000 selepas tempoh dua bulan, iaitu pada 15 Ogos 2022.

Shamsudin berkata, dijanjikan menerima keuntungan RM8,000 pada 25 Ogos dan RM5,000 pada 25 Oktober depan, mangsa teruja melakukan dua kali penambahan modal sebanyak RM4,000 dan RM2,000, masing-masing pada 9 dan 14 Ogos lalu.

Mangsa mula menyedari dirinya ditipu apabila tidak mendapat wang keuntungan yang dijanjikan selepas 15 Ogos lalu.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis Jumaat lalu selepas gagal menghubungi suspek,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.