PETALING JAYA: Amazon Web Services (AWS) akan melebarkan sayap infrastruktur di negara ini dengan jumlah pelaburan sebanyak RM25.5 bilion sehingga tahun 2037.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu merupakan satu pelaburan yang besar buat negara selain bukti syarikat berkenaan yang komited kepada pelaburan teknologi antarabangsa.

Pelaburan berkenaan sekali gus mampu membawa kepada peningkatan transformasi digital di dalam negara ini.

"Ini seterusnya akan membawa kepada inovasi dan pelaburan yang lebih besar di Malaysia, mendorong negara untuk benar-benar menjadi pusat data Asia Tenggara dan hab digital untuk rantau ini.

Selain itu, dengan membawa akses kepada infrastruktur AWS yang bertaraf dunia, teknologi termaju dan program kemahiran digital termaju ke Malaysia, akan membuka peluang untuk perniagaan tempatan membina dan berkembang di peringkat global.

"Langkah ini juga memupuk tenaga kerja yang didayakan secara digital, merangsang penciptaan pekerjaan dan menyampaikan pertumbuhan ekonomi jangka panjang," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi ucapan rakaman video sewaktu majlis Kemas Kini Utama Perniagaan: AWS Malaysia di Petaling Jaya pada Khamis.

Turut hadir pada majlis berkenaan, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.

Dalam pada itu, Anwar turut menyatakan, pelaburan AWS itu juga selari dengan wawasan Malaysia Madani berhubung ekonomi berkemahiran tinggi, inovatif, inklusif dan mampan di mana kekayaan dikongsi dengan lebih saksama.

Beliau dalam masa sama turut menjadikan Petronas sebagai contoh syarikat terbaik yang membawa perubahan pantas terhadap transformasi digital.

"Hari ini, kita melihat sejumlah besar syarikat Malaysia daripada syarikat permulaan kepada perusahaan telah ubah perkhidmatan dan proses mereka.

"Mereka telah menghasilkan inovasi yang lebih besar, pemprosesan data yang lebih selamat dan kos operasi yang lebih rendah dengan Penyedia Perkhidmatan Awan seperti AWS," katanya lagi.

Jelasnya lagi, konsep Malaysia Madani yang berada di bawah pentadbirannya akan menumpukan kepada pembangunan ekonomi yang lebih saksama.

Bagi merealisasikan matlamat itu, beliau berkata ia perlu bergerak melangkaui komoditi dan pembuatan konvensional kepada ekonomi nilai tambah tinggi abad ke-21 yang memanfaatkan teknologi digital termaju, kreativiti dan inovasi.