MALAYSIA
Pelajar antarabangsa rasa seperti di rumah sambut Aidiladha di Malaysia

Pelajar antarabangsa UTM menyifatkan Malaysia sebagai rumah kedua kerana layanan baik dan suasana perayaan yang meriah. - Gambar/ Bernama
JOHOR BAHRU: Ketika umat Islam di Malaysia menyambut Aidiladha hari ini, walaupun jauh daripada keluarga mereka ramai pelajar antarabangsa daripada pelbagai negara turut meraikan perayaan dalam keselesaan dan rasa dimiliki, di tempat yang kini mereka anggap sebagai rumah kedua.
Ringkasan AI
- Pelajar antarabangsa di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyambut Aidiladha dengan penuh kesyukuran dan rasa dimiliki, walaupun berjauhan daripada keluarga, hasil sambutan mesra masyarakat Malaysia.
- Mereka menyifatkan Malaysia sebagai rumah kedua kerana layanan baik dan suasana perayaan yang meriah, manakala pelajar tempatan turut merasai kebersamaan walaupun tidak dapat pulang ke kampung.
- Lebih 600 pelajar menerima sumbangan makanan sempena Aidiladha daripada Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor, sebagai usaha meringankan kerinduan dan menyemarakkan semangat perayaan di kampus.
"Walaupun kami merindui keluarga di tanah air, Malaysia memberikan suasana yang sangat baik, kami rasa seperti menyambut bersama keluarga yang lebih besar, dengan pelbagai pengalaman.
"Malaysia bukan sekadar rumah kedua, ia benar-benar telah menjadi rumah untuk saya," kata lelaki berusia 37 tahun itu yang sedang melanjutkan pengajian Doktor Falsafah (Ph.D.) dalam Kejuruteraan Elektrik ketika ditemui Bernama hari ini.
PELAJAR ANTARABANGSA-AIDILADHA 2 JOHOR BAHRU
Bagi Mohammed Raza Asfak Chidimar, 25, dari Gujarat, India, yang sedang mengikuti pengajian Sarjana Sains (Data Sains) di UTM, sambutan Aidiladha di Malaysia merupakan pengalaman yang menyentuh hati walaupun berjauhan daripada ibu bapanya.
"Rakyat Malaysia sangat mesra, terutamanya di UTM, universiti kami. Mereka sedaya upaya berlaku adil kepada pelajar antarabangsa dan melayan kami dengan sangat baik.
"Malaysia benar-benar terasa seperti rumah kedua. Walaupun budaya sedikit berbeza, inti pati Aidiladha seperti nilai keimanan, pengorbanan, dan perpaduan, tetap sama," katanya.
Pelajar tempatan Izham Syafarin Akhir Ruddin, 21, dari Perak pula tidak dapat menyambut Aidiladha bersama keluarga, kerana kekangan tugasan yang perlu diselesaikan.
"Ini kali pertama sambut Aidiladha tanpa keluarga, sejujurnya di UTM saya tidak rasa keseorangan sebab pihak universiti sentiasa memastikan pelajar turut diraikan semasa perayaan," katanya yang mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Psikologi dan Pembangunan Sumber Manusia.
Terdahulu seramai lebih 600 pelajar di UTM menerima sumbangan makanan sempena Aidiladha daripada Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ).
Ketua Pegawai Eksekutif YRZSNJ Hishamuddin Abdul Rahim berkata sumbangan berkenaan, merupakan kurniaan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah yang juga Canselor UTM.
"Kurniaan ini sebahagian daripada tradisi setiap Aidilfitri dan juga Aidiladha, dengan Seri Paduka Baginda mengurniakan juadah kepada pelajar yang sedikit sebanyak dapat mengubati kerinduan dan dapat menyambut perayaan bersama rakan-rakan," katanya.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTM Prof Dr Ali Selamat berkata UTM menjunjung kasih di atas kurniaan Seri Paduka Baginda, yang dapat memberikan kegembiraan kepada pelajar yang tidak dapat pulang ke kampung halaman.
"Dianggarkan di UTM, 70 peratus adalah pelajar tempatan dan selebihnya antarabangsa. Justeru, kita amat berterima kasih kepada Seri Paduka Baginda kerana sudi mengurniakan sumbangan yang pelajar dapat merasai nikmat kebersamaan menyambut Aidiladha," katanya yang juga menjalankan fungsi sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa).
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami