Seorang pelajar tingkatan enam sebuah sekolah di Johor ditahan kerana memuat naik status menghina Sultan Perak di laman Twitter, semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, lelaki berumur 19 tahun itu ditahan susulan daripada enam laporan polis yang dibuat pada 14 Oktober lalu berhubung satu status di Twitter yang menggunakan perkataan menghina Sultan Perak yang tular di media sosial baru-baru ini.

"Pada 16 Oktober 2017, pihak polis telah berjaya menangkap suspek yang dipercayai pemilik akaun tersebut dan merampas sebuah telefon bimbit yang disyaki digunakan suspek untuk memuat naik status tersebut.

"Hasil siasatan awal mendapati punca munculnya perkataan yang menghina tersebut disebabkan perbalahan antara dua kumpulan bola sepak yang menular di laman sosial iaitu 'Perak Power!' dan 'My Football Liga' menyebabkan seorang lelaki mengeluarkan perkataan yang tidak sepatutnya sehingga menghina Sultan Perak," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Hasnan berkata, suspek merupakan pelajar di sebuah sekolah di Muar, Johor dan bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada awal November nanti.

Katanya, suspek kini direman selama tiga hari untuk membantu siasatan.

"Pihak polis memandang serius tentang hal ini dan satu kertas siasatan telah dibuka dibawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Pihak polis berharap dengan tertangkapnya suspek seperti ini, ia dapat memberikan kesedaran kepada orang ramai supaya tidak mengambil mudah dengan menggunakan laman sosial sebagai perantaraan untuk meluahkan perasaan, mencaci, dan sebagainya sehingga menyebabkan datangnya aib," ujar beliau.