MALAYSIA
Pelajar Malaysia di luar negara perlu kuasai ilmu dan budaya tempatan - Ahmad Zahid

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi beramah mesra dengan hadirin pada Majlis Ramah Mesra Bersama Diaspora malam ini sempena lawatan kerja beliau malam ini. - Foto BERNAMA
WELLINGTON: Pelajar Malaysia yang melanjutkan pengajian ke luar negara diingatkan agar tidak hanya menumpukan perhatian kepada pembelajaran di bilik kuliah semata-mata, sebaliknya turut mengambil peluang untuk mempelajari budaya tempatan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata penglibatan pelajar dalam komuniti setempat bagi memahami adat dan cara hidup masyarakat adalah nilai tambah penting dalam melahirkan siswazah yang holistik dan berwibawa.
"Jangan hanya belajar dalam ruang kuliah, tutorial atau bilik pensyarah sahaja. Kita juga perlu memperkenalkan diri kepada masyarakat tempatan dan mempelajari budaya mereka, khususnya budaya Maori yang kaya dengan nilai sejarah dan semangat perjuangan," katanya.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berucap, pada Majlis Ramah Mesra bersama lebih 250 pelajar dan rakyat Malaysia yang menetap di New Zealand.Turut hadir ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand Mazita Marzuki serta delegasi rasmi dan pegawai kanan kerajaan Malaysia.
Ahmad Zahid menyatakan kekagumannya terhadap semangat dan jati diri masyarakat Maori yang berjaya mengekalkan warisan budaya sambil menguruskan ekonomi komuniti melalui agensi amanah mereka sejak abad ke-19.
"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pemimpin dan komuniti Maori di sini. Kita boleh belajar daripada semangat dan kekuatan mereka dalam memperjuangkan hak, dan menyesuaikan ia dengan konteks Malaysia, terutamanya dalam usaha memperkasakan masyarakat Orang Asli," katanya.
Beliau turut menyatakan kebanggaan terhadap pencapaian dan imej positif yang ditonjolkan para pelajar tajaan pelbagai agensi seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Majlis Amanah Rakyat (MARA), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
Menurut Ahmad Zahid, asimilasi sosial dan pemahaman silang budaya merupakan komponen penting dalam membina insan berdaya saing yang akan kembali berkhidmat kepada negara.
Beliau menekankan keperluan negara terhadap tenaga profesional dalam bidang kritikal seperti kejuruteraan, perundangan dan perakaunan, serta menyeru pelajar supaya mempertimbangkan untuk kembali menyumbang kepada pembangunan tanah air selepas tamat pengajian.
Ahmad Zahid tidak menafikan gaji di Malaysia mungkin tidak setinggi di beberapa negara seperti New Zealand, namun khidmat mereka tetap diperlukan bagi merancakkan pembangunan dan ekonomi negara.
"Saya minta, baliklah ke Malaysia. Terutamanya bagi mereka yang dalam bidang kejuruteraan, perundangan, perakaunan dan sebagainya. Saya tahu gaji di Malaysia agak rendah berbanding New Zealand, tetapi kita mesti ingat, 'di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung'," katanya.
Pada majlis tersebut, Ahmad Zahid turut mengumumkan peruntukan NZ$100,000 (RM251,000) kepada Rumah Malaysia bagi persiapan untuk sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini.
Beliau berkata ia adalah penghargaan kepada rakyat Malaysia yang menetap di sini tanpa mengira bangsa yang menunjukkan semangat patriotisme tinggi.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami