IPOH: Polis akan segera melengkapkan kertas siasatan terhadap seorang pegawai kanan pasukan itu berhubung kematian seorang pelajar lelaki akibat dilanggar dan diseret kereta di Jalan Taman Jati dekat Meru di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, langkah itu bagi membolehkan pendakwaan dilakukan di mahkamah dalam masa secepat mungkin.

Menurutnya, setakat ini polis berpuas hati dengan keterangan diberikan tujuh saksi yang telah tampil membantu siasatan kes itu.

"Kita akan lengkapkan siasatan secepat mungkin untuk diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya.

"Dengan itu bolehlah (pendakwaan) dibuat secepatnya," katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan ke kediaman keluarga mangsa di Taman Chepor Sentosa dekat sini pada Sabtu.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris dan Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan.



Mohd Yusri menyantuni ibu mangsa, Mimi Julia Ismail, 50, ketika mengadakan kunjungan ke kediaman keluarga mangsa itu di Taman Chepor Sentosa pada Sabtu. - Foto Sinar Harian


Mohd Yusri berkata, siasatan polis akan turut melibatkan rakaman video papan pemuka (dashcam) pemilik kenderaan serta kamera litar tertutup (CCTV) premis berhampiran.

"Siasatan akan melalui pelbagai sudut termasuklah yang ada di persekitaran kawasan.

"Ia bagi memastikan kes ini dapat disiasat dengan telus demi keadilan sebenar kepada keluarga mangsa," katanya.

Dalam pertemuan berlangsung hampir 30 minit itu, Mohd Yusri berkata, ahli keluarga telah menyuarakan harapan mereka agar pihak berkuasa meningkatkan ketelusan dengan meletakkan pegawai berintegriti untuk menyiasat kes itu.

"Saya sebagai Ketua Polis Negeri beri jaminan tidak berkompromi, kita akan pastikan kes ini mendapat kebenaran mengikut undang-undang.

"Begitupun saya mengingatkan orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau kenyataan lebih awal daripada pihak berkuasa kerana dibimbangi mengganggu siasatan," katanya.

Lelaki berusia 44 tahun berpangkat deputi superintenden dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah itu telah direman selama tiga hari bermula Sabtu sehingga Isnin depan.

Sinar Harian melaporkan dalam kejadian sekitar jam 12.30 tengah hari itu, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, yang merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati maut di lokasi kejadian selepas motosikalnya dikejar dan dilanggar dari arah belakang sebuah kereta.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian