KUANTAN: Seorang pelajar maut selepas motosikal ditunggang terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Bukit Kuantan, Felda Bukit Goh di sini pada Jumaat.

Dalam kemalangan kira-kira jam 12.05 tengah malam itu, mangsa, Lukhman Hakim Bahari, 17 yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Goh di sini mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pemandu SUV jenis Honda CRV, lelaki berusia 25 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika pemandu SUV yang bekerja sebagai operator kilang dalam perjalanan dari arah Bukit Goh menghala ke bandar Kuantan.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Yamaha Y110 yang ditunggang mangsa dari arah bertentangan dipercayai terbabas masuk ke laluannya.

"Pemandu terlibat cuba mengelak namun gagal berbuat demikian disebabkan jarak terlalu dekat lalu berlaku pelanggaran antara dua kenderaan tersebut," katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, ekoran kejadian, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum jenazahnya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk proses bedah siasat.

"Kemalangan maut mengorbankan nyawa pelajar itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," jelasnya. - Sinar Harian