[TERKINI] Amir Hamzah Jalankan Tugas Menteri Ekonomi Berkuat Kuasa Serta-Merta – RMK13 Jadi Tumpuan | Berita Lanjut di Sini
MALAYSIA

Pelajar Tingkatan Dua dakwa dibuli di asrama

Bernama 26/06/2025 | 21:40 MYT
Azamuddin (gambar) berkata, warden asrama menghubungi keluarga mangsa untuk menghantarnya mendapatkan rawatan selepas sedar perbuatan dilakukan pelajar Tingkatan Tiga. - Gambar fail/Polis Besut
JERTIH: Seorang pelajar lelaki Tingkatan Dua sebuah sekolah berasrama penuh di Besut mendakwa menjadi mangsa buli beberapa pelajar senior di asrama, Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah Besut Supt Azamuddin Ahmad @ Abu berkata kejadian berlaku pada 11.30 malam dan remaja berusia 14 tahun itu membuat laporan polis pada Rabu.
"Mangsa diarahkan duduk dalam keadaan separa mencangkung dan diletakkan selipar di kepala selama 40 minit, ditumbuk di perut dan ditampar.
"Kejadian menyebabkan mangsa sakit di perut dan rusuk kanan serta lebam di belakang badan," katanya dalam kenyataan semalam.
Azamuddin berkata warden asrama menghubungi keluarga mangsa untuk menghantarnya mendapatkan rawatan selepas sedar perbuatan dilakukan pelajar Tingkatan Tiga itu.
Polis akan mendapatkan perintah reman terhadap lima pelajar di Mahkamah Majistret Besut hari ini, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
#buli #asrama #sekolah berasrama penuh #Mahkamah Majistret Besut #pelajar