Skip to main content

Malaysia

Pelajar Tingkatan Dua maut disambar petir

Muhammad Ziad Zikri meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Hospital Pasir Mas. - Foto SInar Harian
Muhammad Ziad Zikri meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Hospital Pasir Mas. - Foto SInar Harian

Advertisement

PASIR MAS: Seorang pelajar lelaki Tingkatan Dua maut disambar petir ketika dalam perjalanan pulang dari memancing di kawasan bendang berhampiran Kampung Tasek Berangan, Repek di sini, petang semalam.

Mangsa, Muhammad Ziad Zikri Abdul Hadi, 14, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Kiambang di sini meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Hospital Pasir Mas.

Semasa kejadian, mangsa dikatakan bersama dua rakan dan sepupunya memancing di kawasan berkenaan.

Bapanya, Abdul Hadi Abdul Ghani, 60, berkata, dia hanya mampu memangku anak lelakinya itu ketika tiba di lokasi kejadian.

"Saya tidak sempat mengajar anak mengucap kerana dia sudah meninggal dunia," katanya kepada pemberita.

Abdul Hadi memberitahu, dia reda dengan pemergian anak bongsu daripada lima beradik itu.

Sementara itu, sepupu mangsa, Mohd Haziq Qoyyum Rosli, 12, berkata, ketika kejadian dia bersama arwah dan dua lagi rakan mereka dalam perjalanan dari bendang tempat memancing menuju ke motosikal untuk pulang ke rumah.

Ujarnya, arwah pada mulanya enggan pulang kerana masih seronok memancing, namun akhirnya akur selepas dua kali diajak pulang berikutan hujan semakin lebat.

"Kami hampir sampai di tempat parkir motosikal apabila tiba-tiba kilat menyambar arwah yang ketika itu membawa jorannya.

"Saya bersama dua lagi rakan yang berada di belakang arwah turut rebah sebaik sahaja kilat menyambar. Saya sempat melihat tubuh arwah berasap," katanya.

Mohd Haziq memberitahu, dia kemudian bangun dalam keadaan terpinga-pinga sebelum pulang ke rumah untuk meminta pertolongan selepas melihat arwah terbaring kaku di tanah.

"Saya sangka arwah pengsan, tetapi apabila ahli keluarga lain tiba di tempat kejadian untuk menyelamatkannya, arwah sudah meninggal dunia," katanya. - Sinar Harian

 

Must Watch Video

Advertisement