Seorang pelajar perempuan tingkatan lima dijumpai mati di bilik tidurnya di Pangsapuri Bandar Baru Teluk Kumbar, Pulau Pinang, malam tadi.

Mayat remaja berkenaan, Intan Suraya Mawardi, 17 tahun, ditemukan dengan kesan kelar di leher kira-kira jam 7.30 malam oleh bapanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, DSP Siti Nur Salawati Saad berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika bapa mangsa tiada di rumah.

Menurutnya, bapa mangsa yang baru pulang dari kerja terkejut apabila mendapati anaknya terbaring di atas katil tidak bernyawa.

"Polis menemui kesan pergelutan di dalam bilik tidur itu. Kita masih lagi menyiasat kes berkenaan dan tidak boleh memberi penjelasan lanjut.

"Kita ada menahan seorang lelaki berusia 20-an di kawasan Teluk Kumbar bagi membantu kes berkenaan. Polis percaya suspek itu mengenali mangsa yang dibunuh," katanya di sini, malam tadi.

Beliau berkata, penahanan lelaki itu dibuat selepas polis menjumpai telefon bimbit kepunyaan mangsa serta sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.

Suspek direman pagi Isnin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.