Skip to main content

Malaysia

Pelaksanaan BDR bukti keprihatinan kerajaan ketika krisis tenaga global

61626175016_WFH.jpg
Dalam zaman teknologi ini, dasar BDR dapat memberikan fleksibiliti dan ketenangan kepada rakyat kerana banyak perkara boleh diselesaikan secara dalam talian. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan mengumumkan pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (BDR) menunjukkan keprihatinan dalam membantu meringankan beban dan kos sara hidup rakyat ketika berhadapan krisis tenaga global. 

Presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) Datuk Ahmad Fakhrul Anuar Ismail berkata budaya BDR berpotensi menjadi kelaziman dan bukan sekadar langkah sementara ketika krisis, namun menuntut prosedur operasi standard (SOP) yang komprehensif untuk jangka masa panjang.

Advertisement

“Kerajaan perlu menetapkan SOP dan garis panduan waktu kerja yang jelas di samping mempromosikan disiplin kendiri dalam kalangan pekerja serta menyediakan kempen kesedaran berkaitan keselamatan dan kesihatan ketika BDR.

“Pemisahan waktu bekerja dan waktu peribadi yang jelas semasa BDR, sekiranya tidak ditetapkan dengan betul boleh memberi kesan kepada produktiviti dan juga kesihatan mental,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Khamis.

 Kerajaan semalam mengumumkan pelaksanaan dasar BDR bagi sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan bermula 15 April depan sebagai langkah proaktif dalam mendepani krisis tenaga global.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi mesej video berkata keputusan itu yang dicapai dalam Mesyuarat Jemaah Menteri bertujuan mengurangkan penggunaan bahan api dan memastikan kemampanan bekalan tenaga negara yang terkesan akibat konflik di Asia Barat.

Ahmad Fakhrul Anuar bagaimanapun berkata tidak semua sektor sesuai untuk pelaksanaan BDR khususnya pekerjaan barisan hadapan seperti petugas kesihatan, guru, polis dan pekerja operasi kilang yang masih memerlukan kehadiran fizikal serta pendekatan yang lebih fleksibel.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Kamarul Baharin Mansor berkata langkah itu selari dengan ketidaktentuan situasi semasa kerana dapat mengurangkan penggunaan bahan api dan kos pengangkutan ke tempat kerja.

Beliau mencadangkan syarikat yang terlibat boleh merujuk kepada kesatuan itu bagi membincangkan kaedah, keperluan dan peraturan yang lebih sesuai berdasarkan pengalaman BDR ketika pandemik COVID-19 sebelum ini.  

Menyifatkan rakyat khususnya golongan pekerja terlibat mampu melaksanakan dasar itu dengan lebih efektif buat kali kedua, pakar sosial Datuk Prof Dr Mohammad Shatar Sabran pula berkata kaedah itu masih mendatangkan hasil yang memberangsangkan termasuk dalam sektor pendidikan meskipun ada pihak yang kurang yakin akan keberkesanannya. 

“Dalam zaman teknologi ini, dasar BDR dapat memberikan fleksibiliti dan ketenangan kepada rakyat kerana banyak perkara boleh diselesaikan secara dalam talian. Rakyat perlu berterima kasih kepada kerajaan kerana ini merupakan satu apresiasi daripada pihak kerajaan dalam membantu rakyat mendepani krisis tenaga global yang kita hadapi hari ini,” katanya.

Bagi petugas Pejabat Komunikasi Korporat Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Amirul Salam Hasan, BDR kini boleh menjadi sebahagian daripada strategi jangka panjang ke arah kelestarian.

Beliau berkata hal ini kerana antara penyumbang utama kepada penggunaan bahan api harian ialah pergerakan ulang-alik pekerja ke tempat kerja dengan kesesakan lalu lintas di kawasan bandar yang bukan sahaja menjejaskan produktiviti malah meningkatkan pembaziran tenaga dan pelepasan karbon.

“Langkah ini turut membantu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau serta meningkatkan kualiti udara khususnya di kawasan bandar utama. Dalam jangka panjang, perubahan kecil ini berpotensi menyumbang kepada pencapaian komitmen negara terhadap agenda kelestarian dan perubahan iklim,” katanya. 

Tidak menolak pelaksaaan BDR ada cabaran tersendiri, beliau berkata tidak semua sektor sesuai untuk dilaksanakan secara jarak jauh.

“Jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar juga perlu diberi perhatian bagi memastikan akses kepada kemudahan teknologi secara menyeluruh. Di samping itu, aspek kesejahteraan pekerja seperti keseimbangan kerja dan kehidupan serta interaksi sosial turut perlu diurus dengan baik.

“Pendekatan hibrid yang menggabungkan kerja dari rumah dan kehadiran di pejabat dilihat sebagai langkah paling praktikal. Model ini bukan sahaja mengekalkan produktiviti malah membolehkan manfaat pengurangan perjalanan dan penjimatan kos terus dinikmati,” katanya.

Beliau pada masa sama berkata pelaburan berterusan dalam infrastruktur digital penting bagi menyokong pelaksanaan dasar ini secara lebih meluas dan berkesan.

“Institusi pengajian tinggi juga mempunyai peranan penting dalam mendukung agenda ini. Selain menjalankan penyelidikan berkaitan impak kelestarian, universiti boleh menjadi peneraju dalam membudayakan amalan kerja fleksibel serta mendidik generasi masa depan mengenai kepentingan pembangunan lestari.

“BDR bukan sekadar satu pilihan kerja alternatif, tetapi berpotensi menjadi pemangkin kepada perubahan yang lebih besar. Dalam menghadapi ketidaktentuan global, Malaysia berpeluang memanfaatkan pendekatan ini untuk bergerak ke arah ekonomi yang lebih cekap, berdaya tahan dan mesra alam,” katanya. 

-- BERNAMA

Must Watch Video