KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan EU (EUDR) oleh Kesatuan Eropah (EU) akan meningkatkan kos pengeluaran produk komoditi negara serta menjejaskan tahap daya saing produk komoditi negara, kata Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata kementerian berpandangan bahawa EUDR adalah satu bentuk kawalan bukan tarif terhadap produk agrikomoditi Malaysia dengan skop pelaksanaannya merangkumi komoditi utama negara seperti sawit dan produk getah, koko dan produk berasaskan kayu.

Menurutnya, apabila EUDR dikuatkuasakan, produk komoditi yang diimport masuk ke EU perlu bebas daripada hasil aktiviti penyahhutanan yang berlaku selepas 31 Dis 2020.

Selain itu, pengendali atau operator pengeluaran produk komoditi di bawah skop EUDR diwajibkan untuk membuktikan produk komoditi yang dihasilkan tidak dikaitkan dengan aktiviti penebangan hutan atau degradasi hutan melalui proses usaha wajar melibatkan pengesanan dan lokasi geografi, katanya.

"Jika pihak EU mendapati terdapat keraguan dalam penghasilan produk komoditi tersebut, pengendali perlu mengambil tindakan untuk mendedahkan maklumat tentang rantaian bekalan dan melaporkan langkah untuk mengelakkan penebangan hutan

"Dengan pelaksanaan EUDR, sudah tentu ia akan meningkatkan kos pengeluaran produk-produk komoditi negara," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab soalan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (BN-Kalabakan) mengenai usaha yang telah dilaksanakan kementerian bagi menangani isu EUDR.

Fadillah berkata menyedari impak EUDR terhadap sektor agrikomoditi Malaysia, antara tindakan awal kementerian dan agensi berkaitan ialah mengemukakan surat bantahan rasmi yang terdiri daripada 13 negara pengeluar komoditi kepada Suruhanjaya EU dengan menegaskan keperluan untuk EU mengadakan libat urus dengan negara-negara pengeluar.

Selain itu, katanya isu EUDR turut dibawa ke peringkat Asean melalui hubungan diplomatik dengan negara-negara pengeluar agrikomoditi serantau dengan menegaskan pendirian Malaysia untuk bergerak sebagai sebuah blok bagi memberi tekanan terhadap perlaksanaan EUDR.

Menurutnya mesyuarat dua hala dengan Indonesia diadakan pada 9 Feb 2023 bagi membincangkan isu pelaksanaan EUDR dengan kedua-dua negara telah bersetuju untuk mengadakan misi secara bersama ke EU bagi membidas keputusan pelaksanaan EUDR.

"Pandangan dan kekecewaan kedua-dua negara perlu dizahirkan secara bersemuka kepada pihak EU. Penjelasan perlu disampaikan kepada pihak EU mengenai kesan negatif akibat peraturan tersebut kepada pekebun kecil," katanya.

-- BERNAMA